JANGAN JADIKAN VIDEO SEKERAT SEBAGAI FATWA POLITIK
Inilah masalah utama netizen politik hari ini apabila video berdurasi 30 saat dijadikan hakim mutlak kepada satu program yang berlangsung berjam-jam.
Pendang Berselawat berlangsung berjam-jam, tetapi yang dijadikan bukti hanya beberapa saat. Jangan potong video, kemudian potong pula konteksnya
Mari kita semak rekod masa program. Atur cara penuh berlangsung dari jam 5.00 petang hingga 11.00 malam.
Klip yang sengaja dimainkan oleh sesetengah pihak itu sebenarnya hanyalah sesi dialog antara kaum (jam 5.30 hingga 6.30 petang) sebelum waktu makan malam.
Menghukum keseluruhan majlis berdasarkan satu klip pendek bukan analisis, tetapi kesimpulan yang lahir daripada konteks yang pincang.
Islam mendidik kita prinsip bertabayyun, seperti yang digariskan dalam Surah al-Hujurat 49:6. Umat Islam dilarang keras menimpakan prasangka atau hukuman buruk berdasarkan berita yang tidak diselidiki konteksnya.
Bila nampak satu klip pendek, terus melompat buat kesimpulan "Majlis agama dipolitikkan!". Di mana hilangnya adab meneliti maklumat?
Kepada lebai yang gemar menyerang urus tadbir sivil atas nama agama jangan terlalu sibuk mengajar orang lain tentang Islam, tetapi terlupa perkara paling asas dalam menerima berita iaitu menyemak kebenaran.
Satu klip hanyalah serpihan cerita; menjadikannya gambaran keseluruhan ialah memilih konteks, bukan mencari kebenaran
Politik matang memerlukan bukti perundangan, dokumen yang terang, dan kebenaran konteks. Kalau ada penyalahgunaan dana, buktikan dengan angka. Kalau ada pelanggaran dasar, nyatakan dengan peruntukan.
Jangan menukar klip media sosial menjadi fatwa politik murahan. Klip itu mungkin sekerat, tetapi kesimpulan lebai sudah sepanjang khutbah!
IBNU ALI


No comments:
Post a Comment