
Kesemua sepuluh bekas exco itu dijangka memberi keterangan kepada pegawai Bukit Aman di sekitar pusat pentadbiran negeri di Seremban pada 27 September 2026.
KUALA LUMPUR, 26 Sep – Sepuluh bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Negeri Sembilan dijangka memberi keterangan kepada Bukit Aman esok.
Sepuluh bekas exco itu terdiri daripada tujuh wakil Umno, iaitu Mustapha Nagoor (Palong), Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idris (Chembong), Razi Ali (Sungai Lui), Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Baki tiga lagi ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA, wakil Pas, Fairuz Isa (Serting) dan Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.

Menurut sumber, kesemua bekas exco itu akan memberi keterangan kepada pegawai Bukit Aman di sekitar pusat pentadbiran negeri di Seremban.
“Pegawai dari Bukit Aman akan turun ke Negeri Sembilan esok, bukan exco yang pergi ke Bukit Aman.
“Semua barisan exco sedia memberikan kerjasama penuh,” katanya kepada portal FMT.
Sumber itu bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci isu yang sedang disiasat polis, namun tidak menolak kemungkinan ia berkait rapat dengan isu adat dan perlembagaan yang berlaku di negeri berkenaan.

Sebelum ini satu laporan polis dibuat oleh parti Putra terhadap tindakan barisan exco kerajaan negeri itu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Datuk Ismail Lasim pada 15 September berkaitan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada 20 Sept lalu, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan exco terbabit yang berkuat kuasa serta-merta sebelum perkara itu diwartakan.
Warta berkenaan menyatakan pelantikan mereka dibatalkan berkuat kuasa 20 Sept oleh Tuanku Muhriz.
Warta itu menyebut pelantikan mereka dibatalkan dan terbatal kerana melanggar ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Pemecatan itu menyusul seminggu selepas mereka mengeluarkan kenyataan didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar, sebelum disokong Menteri Besar Ismail Lasim keesokannya.
Bagaimanapun, perkara itu dipertikaikan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan serta Jabatan Peguam Negara.
No comments:
Post a Comment