
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi (WADAH, ABIM, PKPIM) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Bangi pada 26 September 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
BANGI, 26 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akur dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kes membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Bagaimanapun Anwar berkata, perkara itu tidak menghalang beliau daripada memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang dan kepentingan negara.

Pendirian kerajaan jelas Anwar iaitu negara tidak boleh bertolak ansur terhadap amalan rasuah atau perbuatan mengambil kekayaan negara untuk kepentingan peribadi.
“Bila kita bincang soal kontroversi berhubung kes Najib, saya akur dengan semangat Perlembagaan (Perlembagaan Persekutuan), tetapi ia tidak menghalang, umpamanya seorang perdana menteri memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang.

“Apa nak kita sampaikan? Negara ini tidak boleh tolak ansur dengan rasuah dan amalan ‘sakau’ wang negara,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Majlis itu menghimpunkan lebih 2,000 ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Dalam ucapannya, Anwar turut merujuk beberapa isu melibatkan beberapa institusi yang pernah menjadi perhatian awam, termasuk Lembaga Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sambil menegaskan bahawa individu yang didakwa mengambil kekayaan negara perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

“Tabung Haji, FELDA, 1MDB, orang yang ‘menyakau’ kekayaan, harus menjawab. Jadi apa juga keputusan, tidak harus beralih untuk menyelamatkan negara kita,” kata beliau.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

No comments:
Post a Comment