Menjelang 2018, timbul satu perkara yang pada awalnya cukup sukar untuk kita bayangkan.
Bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Saya sendiri antara orang yang paling kuat melawan Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri 22 tahun dahulu.
Bukan setahun dua.
Berpuluh tahun.
Zaman saya dalam Pemuda PAS, Jawatankuasa PAS Pusat, Naib Presiden sampai Timbalan Presiden PAS, macam-macam saya kata kepada Mahathir.
Orang lama-lama kalau masih simpan kaset ceramah saya, boleh dengarlah.
Jadi bila timbul cadangan hendak bekerjasama dengan Mahathir, bukan saya terus kata, “bagus, mari kita buat.”
Tidak.
Berat.
PKR pun berat. DAP pun melalui perbahasan mereka sendiri. AMANAH pun kena fikir.
Saya pernah melihat sebuah teater mengenai perjalanan politik Lim Kit Siang.
Dalam penceritaan itu digambarkan bagaimana beliau sendiri berhadapan dengan persoalan yang sangat sukar:
Kalau betul-betul mahu menumbangkan pemerintahan BN ketika itu, sanggupkah kita bekerjasama dengan orang yang selama puluhan tahun menjadi lawan?
Itu dilema bukan DAP sahaja.
Itu dilema kita semua.
Akhirnya PKR setuju.
DAP setuju.
AMANAH setuju.
Bersatu diterima masuk bersama PH.
Dan apabila keputusan bersama sudah dibuat, saya ambil satu pendirian yang mudah.
Kalau sudah berkawan, kita berkawan sungguh-sungguh.
Saya tidak lagi pergi ke pentas mengungkit setiap hari apa Mahathir buat kepada kita dahulu.
Operasi Lalang, Memali dan segala pertarungan lama, kita tidak jadikan agenda setiap malam.
Kenapa?
Sebab tidak munasabah kita duduk semeja dengan seseorang waktu pagi, malam kita keliling kampung menghentam dia.
Kita telah memilih untuk bekerjasama.
Maka kita hormati kerjasama itu.
Akhirnya 2018, kita berjaya melakukan sesuatu yang selama puluhan tahun orang fikir mustahil.
Kerajaan bertukar melalui peti undi.
Dan saya sendiri, orang yang puluhan tahun melawan Mahathir, akhirnya duduk dalam Kabinet beliau sebagai Menteri Pertahanan.
Itulah politik.
Bukan bermakna sejarah hilang.
Tetapi apabila kita membuat satu keputusan bersama, kita jaga keputusan itu.
BERSAMBUNG BAB 3…
#PartiAmanahNegara
#MohamadSabu

No comments:
Post a Comment