
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan membacakan laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026.
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) kini sedang dalam peringkat akhir untuk memperhalusi penambahbaikan dasar pengurusan haji yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata penambahbaikan akan membabitkan pelan menunaikan haji lebih jelas, terancang dan sistematik.
Ia kata beliau, sejajar dengan konsep istito’ah atau kemampuan dan penekanan kepada kesiapsiagaan awal.
“TH mengambil maklum pengesyoran daripada Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan perubahan dasar dari aspek pengurusan haji terutamanya dari aspek kelayakan haji dan tempoh menunggu giliran haji,” katanya menyampaikan penerangan pada mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI TH hari ini.
Beliau berkata, pengukuhan tadbir urus TH menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan haji yang disampaikan kepada jemaah haji Malaysia.
Katanya, kos haji berjaya dikekalkan selama tiga musim berturut-turut pada RM33,300 bermula 2024 hingga 2026, biarpun inflasi meningkat 250 peratus sejak 2001 ketika bantuan kewangan haji diperkenalkan hingga 2023.
“TH berjaya mengekalkan kos haji dengan mengekang kenaikan kos penerbangan melalui kontrak jangka panjang.
“TH juga dapat menurunkan kos penyewaan hotel baru yang lebih berkualiti melalui rundingan terus dengan pemilik bangunan berbanding melalui pihak ketiga walau berdepan peningkatan inflasi dan perlu menanggung kos perkhidmatan atau kemudahan baru di Tanah Suci,” katanya.
Di bawah kepimpinan pengerusi, lembaga pengarah serta pasukan pengurusan yang professional dan berwibawa, katanya TH kini berjaya kembali ke landasan lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus lebih baik, tanpa campur tangan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendeposit TH juga tidak perlu bimbang kerana semua urusan pelunasan zakat agensi berkenaan juga sudah dilaksana TH secara tertib dan berlandaskan hukum syarak.
“Keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan garis panduan zakat yang sudah diluluskan dan dipantau oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH dianggotai oleh pakar-pakar syariah dan kewangan Islam,” katanya.



No comments:
Post a Comment