GALI LUBANG TUTUP LUBANG: AMARAN ARMIZAN WAJAR DIBERI PERHATIAN





Hari ini seperti dijangka kita menyaksikan drama RCI Tabung Haji di Parlimen. Ada sokong, ada bantah, ada tunggang isu, ada keluar dewan, ada sindir menyindir. Tapi saya lebih tertarik perbahasan dari Datuk Armizan Mohd Ali yang simple. Dan ada satu isu menarik perhatian saya iaitu "Gali Lubang, Tutup Lubang.


Menurut Datuk Armizan budaya “gali lubang, tutup lubang” dalam pengurusan kewangan kerajaan dan badan berkanun perlu dihentikan adalah perkara yang wajar diberi perhatian. Kerajaan tidak boleh membuat keputusan kewangan hanya kerana mahu memberikan manisan kepada rakyat hari ini, sedangkan bilnya diserahkan kepada generasi akan datang.


Kita boleh melihat bagaimana beberapa syarikat milik kerajaan terus memerlukan sokongan kewangan yang besar. Prasarana misalnya berdepan tekanan aliran tunai dan masih mempunyai komitmen bon yang besar, manakala MRT Corp pula mencatat kerugian terkumpul yang sangat tinggi akibat kos pembangunan infrastruktur.


Saya tidak mengatakan pengangkutan awam tidak patut disubsidi. Sebaliknya, persoalannya ialah sampai bila model kewangan yang sama boleh diteruskan tanpa pembaharuan yang benar-benar mengurangkan jurang pembiayaan?


Kerajaan sendiri pernah menyatakan budaya mengekalkan syarikat yang tidak mencatat keuntungan dan terus membebankan kerajaan perlu dihentikan. Maka prinsip itu mesti dilaksanakan secara konsisten. Jika sebuah syarikat diperlukan kerana kepentingan awam, teruskan dengan model yang jelas. 


Jika masalahnya pengurusan, baiki pengurusan. Jika model perniagaannya tidak lagi sesuai, ubah modelnya. Jangan sekadar menambah wang setiap kali lubang semakin dalam. Inilah yang rakyat mahu lihat daripada pengurusan kewangan negara, bukan sekadar berapa banyak kerajaan boleh belanja, tetapi berapa banyak yang mampu dijimatkan, berapa banyak yang mampu dipulihkan dan berapa banyak yang akhirnya memberi pulangan kepada rakyat.


Wang awam bukan wang kerajaan. Ia wang rakyat yang dikumpulkan melalui cukai, hasil negara dan pelbagai sumber lain. Kita tidak boleh terus menghidangkan manisan hari ini dengan hutang yang perlu dibayar esok. Bantuan kepada rakyat memang perlu, subsidi yang benar-benar diperlukan memang perlu, dan pelaburan strategik memang perlu. Tetapi setiap ringgit mesti mempunyai sebab, sasaran dan hasil. Jangan gali lubang untuk menutup lubang yang lain. Pada akhirnya, lubang itu tetap rakyat yang terpaksa menanggung.


Razeef Rakimin

11 Ogos 2026

Sepanggar, Sabah





No comments: