MANA NAK BAHAS...MEREKA TERLIBAT BUAT BUAT TAK TAHU KETIKA JADI KERAJAAN

 


‘Nak Bahas Pasal Saya Atau Tabung Haji?’ – PM Anwar Bidas Pembangkang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang yang didakwa masih mahu 'bermain drama politik' semasa Dewan Rakyat mahu membentangkan perbahasan RCI Tabung Haji pada 11 Ogos 2026. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang yang didakwa masih mahu ‘bermain drama politik’ susulan keputusan mereka keluar dari Dewan Rakyat ketika mahu memulakan Mesyuarat Khas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini.

Menerusi hantaran di media sosial sebentar tadi, Perdana Menteri berkata, tindakan berkenaan dilakukan pembangkang kerana tidak mahu menyertai perbahasan selepas beliau tidak dapat menghadiri sidang khas berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan niat sebenar pembangkang, sama ada mahu berbahas mengenai dirinya atau isu membabitkan TH yang disifatkannya sebagai institusi kewangan penting kepada umat Islam.

“Nak bahas tentang saya atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.

“Apakah PN (Perikatan Nasional) yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” tegas Anwar.

Anwar kini dalam proses pemulihan susulan pembedahan kecil berjaya dilaksanakan pasukan perubatan semalam dan diberi rehat selama dua hari sehingga hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau, selain ingatan serta ucapan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-79 pada 11 Ogos 2026.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung RCI TH kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang meminta sesi berkenaan ditangguhkan atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri.

Beberapa Ahli Parlimen PN bangkit mempersoalkan kewajaran sidang itu diteruskan, antaranya Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyifatkan keadaan itu seolah-olah majlis perkahwinan diadakan tanpa pengantin.

Wakil rakyat PN kemudian memilih untuk keluar dari Dewan Rakyat selepas permintaan mereka supaya sidang khas itu ditangguhkan ditolak.

Ahli parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat setelah gagal menghalang Speaker, Tan Sri Johari Abdul meneruskan sesi perbahasan RCI Tabung Haji pada 11 Ogos 2026.

Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen dari Bersatu kekal namun meminta sesi ditambah sehari lagi atas alasan masa tidak mencukupi.

No comments: