Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan tindakan sebahagian blok pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sidang khas berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji berlangsung hari ini.
Hamzah menyifatkan persidangan itu sebagai membuang masa kerana menurutnya ia sekadar sesi penerangan menteri tanpa sebarang usul, keputusan atau pengundian.
“Ia majlis penerangan, kalau diterang dia nak suruh kita bahas apa. Kalau kata ada perkara atau usul nak dibawa baru kita bahas, ini kena faham,” katanya dalam sidang media selepas keluar Dewan.
Menurut Hamzah, laporan RCI berkenaan sudah mengandungi penemuan serta syor untuk diberikan perhatian kerajaan dan pengurusan TH.
Beliau turut mempersoalkan keperluan meneruskan persidangan sekiranya tiada keputusan dibuat selepas perbahasan.
“Kita boleh buat sidang media, buat kenyataan, boleh hantar surat, itu semua kita boleh lakukan, jadi tak payah buang masa,” katanya.
Terdahulu, sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan selepas permohonan supaya sidang khas berkenaan ditangguhkan sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali bertugas tidak diterima.
Tindakan itu bagaimanapun berbeza dengan pendirian beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain yang memilih untuk kekal dan mengikuti persidangan berhubung institusi yang mengurus simpanan jutaan umat Islam itu.
#unofficialinfo

No comments:
Post a Comment