Tarikh Lihat Anak Bulan Zulhijjah Ditetap 17 Mei

 


Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan tarikh Awal Zulhijah (1 Zulhijah) akan diisytiharkan pada malam hari sama melalui siaran radio serta televisyen.

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Ahad, 17 Mei bersamaan 29 Zulkaedah 1447 Hijrah, di 29 lokasi seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan tarikh Awal Zulhijah (1 Zulhijah) akan diisytiharkan pada malam hari sama melalui siaran radio serta televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang hari Ahad, 17 Mei 2026 Masihi bersamaan 29 Zulkaedah tahun 1447 Hijrah.

“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Zulhijah adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” katanya.

Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Zulhijah tahun ini ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Balai Cerap Negeri Sembilan (MAINS).

Di Selangor membabitkan Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; manakala Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi di Kedah ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; serta Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah.

Di Terengganu pula Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.

Di Kelantan, lokasinya ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Pusat Falak Bintulu.

Lokasi melihat anak bulan di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; manakala di Pahang pula Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Brinchang, Cameron Highlands; dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur di ibu negara; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis di Perlis.

Zulhijah merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah yang mana ibadat haji dilakukan pada bulan ini dan Aidiladha disambut pada setiap 10 Zulhijah.




No comments: