TEGUR DEMI PARTI PUN KENA?







 TEGUR DEMI PARTI PUN KENA?

Ketua Media AMK Pulau Pinang Jawab Surat Tunjuk Sebab
PERMATANG PAUH — Seorang pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang tampil mempertahankan diri selepas menerima notis amaran salah laku dan surat tunjuk sebab daripada Biro Disiplin AMK negeri.
Muhammad Amshar Bin Saifulezan yang merupakan Ketua Biro Media Baharu AMK Pulau Pinang memaklumkan bahawa beliau telah mengemukakan jawapan rasmi bertarikh 29 April 2026 bagi menjawab notis yang dikeluarkan pada 27 April lalu.
Dalam surat jawapannya, beliau membangkitkan beberapa perkara termasuk kesilapan nama dalam notis rasmi tersebut apabila namanya ditulis sebagai “Muhammad Amsyar” dan bukannya “Muhammad Amshar”.
Beliau turut mempersoalkan notis itu kerana didakwa tidak menyatakan secara jelas video, kenyataan, tarikh siaran atau kandungan khusus yang dianggap melanggar disiplin parti.
Menurutnya, tuduhan yang terlalu umum menyebabkan beliau sukar memberikan jawapan yang spesifik terhadap dakwaan yang dibuat.
Amshar juga menegaskan bahawa beliau bukan pihak yang memuat naik podcast yang dipersoalkan. Katanya, jika podcast yang dimaksudkan ialah “Barber Chat” yang disiarkan di saluran YouTube milik Iswardy Morni, kandungan tersebut dimuat naik sepenuhnya oleh pemilik saluran berkenaan dan bukan dirinya.
Dalam masa sama, beliau mempertahankan kenyataan yang dibuat dalam podcast tersebut dengan menyatakan ia berdasarkan pemerhatian politik semasa serta suara akar umbi yang menurutnya wajar didengari pimpinan.
Beliau berkata teguran yang dibuat bukan bertujuan menyerang parti, sebaliknya demi penambahbaikan organisasi dan memastikan parti terus relevan serta diyakini rakyat.
“Saya percaya budaya menegur secara jujur dan berprinsip adalah lebih sihat daripada budaya berdiam diri terhadap kelemahan yang sedang berlaku,” katanya dalam surat tersebut.
Sementara itu, notis yang dikeluarkan Biro Disiplin AMK Pulau Pinang memaklumkan bahawa kandungan podcast berkenaan didapati berpotensi melanggar tata tertib parti serta boleh menjejaskan imej, kredibiliti dan keharmonian organisasi.
Beliau diberikan tempoh tujuh hari untuk memberikan penjelasan bertulis sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Isu ini kini mula menjadi perhatian dalam kalangan pemerhati politik dan akar umbi parti apabila ramai melihat ia sebagai pertembungan antara disiplin organisasi dan kebebasan menyuarakan pandangan dalaman secara terbuka.

No comments: