TOLAK UMNO - JANGAN SEKADAR JADI JERITAN YANG HANYA MENYAKITKAN TEKAK



8 Mei 2026


Dalam program ceramah perdana PH di  Parkir Stadium Paroi di Seremban Rabu lalu, didapati begitu bergema teriakan “Tolak UMNO” oleh penyokong-penyokong gabungan tersebut.


Disebabkan jeritan “Tolak UMNO” itu setakat ini tidak dinafikan oleh PH secara rasmi sebagai suara yang terpencil atau tiada kaitan dengan mereka, maka bolehlah dibyat kesimpulan  bahawa PH juga tidak menolak untuk menolak UMNO.


Persoalannya, daripada  segi apa UMNO nak ditolak?


Nak tolak daripada kerajaan negeri, kerajaan pusat atau ditolak jika ada PRN  tidak lama lagi?


Jika UMNO mahu ditolak daripada kerajaan negeri, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun harus segera mengisytiharkan beliau menolak sokongan 14 Adun UMNO terhadap kerajaan negeri sebagaimana dipersetujui dan diumumkan dalam kenyataan meda bersama oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Saifuddin Nasution Ismail yang dikeluarkan pada 5 Mei lalu.


Ertinya, sebagaimana 14 Adun UMNO itu menolak kepimpinan Aminuddin, sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan juga semestinya ditolak.


Adalah karut dan tak masuk akal  jika 14 Adun UMNO itu kekal menolak Aminuddin, tetapi sokongan mereka kepada kerajaan negeri yang dipimpinnya boleh pula diterima.


Aminuddin mesti menolak  sokongan 14 Adun itu kepada kerajaan negeri pimpinannya, sebagaimana mereka menolak kepimpinannya sebagai Menteri Besar.


Apa jadi seterusnya, sama ada kena berdepan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri atau DUN harus dibubarkan bagi memberi laluan PRN diadakan, Aminuddin sebagai Menteri Besar mesti sedia menghadapinya.


Jika ini dilakukan, barulah ada makna jeritan “Tolak UMNO” itu.


Lagi pun, bukankah slogan PKR ialah Lawan Tetap Lawan?


Kalau UMNO mahu ditolak daripada kerajaan pusat pula, pemimpin-pemimpin utama PH yang hadir dalam ceramah perdana tersebut - Mohamad Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh Deo, Saifuddin Nasution Ismal dan Aminuddin sendiri - mereka secara bersama harus tidak berlengah lagi membawa mesej menolak UMNO itu kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Suara dan teriakan “Tolak UMNO” yang bergema di Stadium Paroi itu adalah gambaran yang mesti dengan segera diangkat maklum kepada Perdana Menteri dan sesuatu mesti dilakukan oleh beliau.


Jika PH tidak berani mengangkat maklum suara penolakan  yang bergema itu secara rasmi kepada Perdana Menteri, ia memberi maksud bahawa pimpinan PH yang berucap pada malam tersebut telah gagal memahami suara penyokong-penyokong setia mereka sendiri, sekaligus tentunya akan mengecewakan mereka.


Mereka wajib meyakinkan Anwar bahawa dengan menolak UMNO, kerajaan perpaduan tidak jatuh dan beliau masih kekal sebagai Perdana Menteri.


Seterusnya, kalau suara “Tolak UMNO” itu membawq maksud PH tidak mahu lagi berkawan dengan UMNO dan mahu parti Melayu itu diketepikan sama-sekali, langkah yang betul dan harus diambil oleh Aminuddin ialah membubarkan DUN dengan segera.


Beliau tidak perlu menunggu tempoh enam bulan untuk berbuat demikian dan membiarkan “kerajaan tak cukup jumlah” terus mentadbir negeri.


Membiarkan kerajaan tak cukup kerusi kekal mentadbir negeri adalah dengan jelas bertentangan dengan semangat reformasi.


Semangat reformasi mesti ada jiwa berani dan tidak akan berdiri di atas sesuatu yang tidak pasti.


Setelah DUN dibubarkan, dengan itu bolehlah lebih banyak lagi ceramah perdana diadakan dan suara teriakan “Tolak UMNO” diperhebatkan lagi sehingga tarikh PRU akan datang.


Jika semua yang disebutkan di atas tidak berani dilakukan, maka penat dan sakit tekak sajalah menjerit “Tolak UMNO” itu tetapi UMNO tidak tertolak walau seinci pun.


Cehhhh…- ShahbudinHusin 08Mei2026


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1280066644116452&id=100063393840098




No comments: