
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam kenangan bersama pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei 2026. Foto Bernama
CEBU, 8 Mei – Malaysia mencadangkan kajian segera penubuhan mekanisme siap sedia serantau untuk keterjaminan makanan semasa krisis bagi membolehkan penyelarasan dan usaha tindak balas kecemasan yang lebih pantas.
Berucap pada sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa krisis bekalan tenaga telah memburukkan keadaan gangguan bekalan makanan, memandangkan kenaikan harga bahan api telah meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran, sekali gus mewujudkan tekanan bekalan di seluruh rantau ini.

“Jika gangguan berterusan, ASEAN menghadapi risiko hasil yang lebih rendah dan inflasi makanan yang berterusan sehingga tahun depan. Oleh itu, keterjaminan makanan perlu dianggap sebagai keutamaan strategik serantau,” ujar beliau.
Menurut Anwar, terdapat keperluan untuk memperkukuh mekanisme Rizab Beras Kecemasan ASEAN Plus 3 (APTERR) dan bekerjasama dengan rakan negara untuk meluaskan lagi kerjasama dengan merangkumi keterjaminan baja.
Merujuk kepada Deklarasi Kuala Lumpur yang diterima pakai tahun lepas, beliau berkata rangka kerja bagi tempoh 20 tahun itu mengiktiraf bahawa keterjaminan tenaga, daya tahan makanan, kestabilan rantaian bekalan dan ketersambungan serantau yang lebih kukuh kini menjadi satu keutamaan strategik untuk kelangsungan, bukan sekadar kebimbangan terhadap satu isu khusus.
No comments:
Post a Comment