83 kilang e-waste haram dikesan: Kerajaan negeri jangan ‘pejam mata’


 


Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan lebih agresif terhadap premis pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram susulan penemuan puluhan kilang tidak berlesen di seluruh negara.

Perkara itu menjadi fokus utama Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur, Datuk Seri Joseph Kurup.

Menurut NRES, hasil pelaksanaan tiga siri Ops Hazard oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama pelbagai agensi penguatkuasaan, sebanyak 83 kilang pemprosesan e-waste secara haram telah dikenal pasti di seluruh Malaysia.

Susulan itu, mesyuarat bersetuju supaya tindakan penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan termasuk pencerobohan premis haram dan rampasan tanah terhadap lokasi yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.

NRES berkata pendekatan tersebut penting bagi memperkukuh operasi sedia ada selain memastikan aktiviti pemprosesan e-waste haram dapat dibanteras secara lebih berkesan.

Mesyuarat itu turut menghimpunkan exco kerajaan negeri yang memegang portfolio alam sekitar dari seluruh negara bersama pegawai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

Menurut kementerian, penyertaan menyeluruh itu mencerminkan komitmen bersama kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani isu alam sekitar secara lebih tersusun dan inklusif.

Dalam perkembangan sama, NRES turut membentangkan dapatan awal kajian Indeks Prestasi Alam Sekitar Malaysia (MyEPI) yang dibangunkan secara kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kajian tersebut berfungsi sebagai alat penilaian prestasi alam sekitar negara berasaskan data bagi membantu proses membuat keputusan.

Selain isu e-waste, mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna, kesiapsiagaan pemantauan jerebu rentas sempadan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), serta status insiden pembakaran terbuka di seluruh negara.

NRES berkata semua ahli mesyuarat bersetuju membawa isu dan keputusan yang dicapai ke peringkat kerajaan negeri bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.



No comments: