“Itu muhasabah, bukan krisis” – AMANAH jawab isu dokumen sulit PKR


 


AMANAH menegaskan analisis dalaman melibatkan 66 kerusi Parlimen oleh PKR tidak sepatutnya dilihat sebagai petanda keretakan dalam Pakatan Harapan (PH), sebaliknya usaha memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Timbalan PresidenNYA, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata kajian strategik tersebut lebih bertujuan memperkemas gerak kerja pilihan raya dan memperkukuh kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kekuatan PH secara keseluruhan.

Menurut beliau, dokumen itu perlu dilihat sebagai proses muhasabah dan penilaian dalaman bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian lebih awal.

“Kajian ini adalah lebih kepada mengemas kini jentera supaya lebih berhati-hati dan menumpukan gerak kerja pilihan raya nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelbagai tafsiran yang timbul selepas dokumen itu bocor dilihat tersasar daripada tujuan sebenar analisis berkenaan.

“Saya tak buat rumusan seperti mana media membuat pelbagai rumusan kerana hakikatnya ia adalah untuk memastikan kawasan itu diperbaiki mutu gerak kerja agar menjadi lebih baik, bukan sebaliknya,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan analisis strategik itu lahir daripada semangat muhasabah diri parti bagi memastikan PH lebih bersedia menghadapi cabaran politik akan datang.

Beliau berkata dokumen tersebut memberi fokus kepada usaha merapatkan saf kepimpinan, memperkukuh jentera serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam masa sama, Nurul Izzah turut mengecam tindakan pihak yang membocorkan dokumen dalaman berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan ada pihak lebih berminat menjadi “sumber khianat demi berita sensasi” berbanding menjaga disiplin organisasi.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan PKR sedang berada dalam mod berjaga-jaga selepas beberapa kerusi utama yang dimenangi parti itu dilihat semakin berisiko menjelang PRU16.

Antara kerusi yang dikategorikan sebagai marginal Tier 2B ialah Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun, manakala Gombak serta Sungai Buloh diletakkan dalam kategori Tier 3 atau zon merah yang memerlukan intervensi khas daripada pimpinan pusat.



No comments: