Malaysiastory
Gadis yang diriba pemandu bas ekspres mendakwa tindakannya berpunca daripada rasa teruja serta minat untuk mencuba memandu kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 21 tahun itu membuat pengakuan berkenaan ketika hadir memberi keterangan kepada pihak polis hari ini.
Menurut beliau, wanita yang berasal dari Kedah dan bekerja sebagai kerani kaunter tiket bas di syarikat lain itu turut memberitahu bahawa dia mengenali pemandu lelaki berusia 36 tahun dari Kuala Lumpur sejak kira-kira lima bulan lalu.
“Pasangan ini telah diambil keterangan selama hampir dua jam sebelum ditahan pada hari sama. Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, pemandu berkenaan yang mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun memandu bas memaklumkan bahawa kejadian tersebut hanya berlaku dalam tempoh singkat, iaitu beberapa minit sebelum kenderaan itu memasuki laluan utama lebuh raya.
Terdahulu, kedua-dua individu terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin sekitar jam 4.30 petang dengan menaiki sebuah Proton Persona yang dipandu oleh individu dipercayai ahli keluarga.
Mereka dilihat memakai pelitup muka ketika hadir bagi membantu siasatan berhubung insiden yang menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan penumpang bas ekspres.
Insiden tersebut dipercayai berlaku ketika bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin, Johor Bahru.
Rakaman video berdurasi lapan saat yang tular itu memaparkan pemandu bas meriba wanita berkenaan ketika memandu berhampiran susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan, kira-kira jam 7.30 malam pada Ahad lalu.

No comments:
Post a Comment