Sindiket Perdagang Manusia Terbongkar, ‘Orang Dalam’ Kantoi Dicekup

 


Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 25 April 2026. Foto JIM

BUKIT KAYU HITAM, 26 Apr – Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (JIM) yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah yang disyaki menjadi ‘orang dalam’ ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai ‘pemudah cara’ dalam sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai ‘Toyu’.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan itu dibuat dalam Operasi Khas yang dijalankan di sekitar ICQS Bukit Kayu Hitam, semalam.

Menurutnya, operasi bermula kira-kira pukul 12.50 tengah hari melibatkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 25 April 2026. Foto JIM

“Hasil risikan selama sebulan, pasukan berjaya menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan JIM, selain seorang lelaki tempatan dan seorang warga Thailand yang dipercayai ‘ejen’ dikenali sebagai ‘Toyu’.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’, lima lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang warga India yang ditahan merupakan individu yang telah disenarai hitam, manakala seorang warga Pakistan menggunakan e-visa dipercayai palsu.

Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 25 April 2026. Foto JIM

Katanya, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi membawa masuk warga asing dari Thailand melalui pintu masuk darat secara terancang.

“‘Ejen’ akan menyelaras pergerakan, manakala ‘transporter’ bertindak membawa masuk warga asing dengan menyamar sebagai pemandu teksi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Setibanya di pintu masuk negara, pegawai yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ akan menurunkan endorsement dalam pasport walaupun tidak memenuhi syarat kemasukan,” ujarnya.

Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 25 April 2026. Foto JIM

Tambah beliau, sindiket mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap migran, manakala RM400 akan diberikan kepada pegawai bagi setiap pasport yang diluluskan.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan menyebabkan ketirisan hasil negara dianggarkan mencecah RM4.1 juta.

Dalam operasi sama, Zakaria berkata, pihaknya turut menyita lima pasport India, satu pasport Pakistan, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit serta wang tunai 30,000 rupee India.

Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 25 April 2026. Foto JIM

“Turut disita sebuah kereta Nissan Sentra serta dua motosikal jenis Honda Wave dan Honda EX5 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 dan semua suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Kedah untuk tindakan lanjut.





No comments: