Polis Kelantan Siasat Individu Didakwa Perlekeh Anggota PDRM Bertugas Di SJR

 


Polis membuka kertas siasatan berkenaan mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

KOTA BHARU, 26 Apr – Polis Kelantan membuka kertas siasatan terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan memperlekeh pasukan keselamatan itu, berhubung video tular berkaitan penganjuran konvoi motosikal petang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan berkenaan dibuka mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Hari ini pada jam 10 pagi kita menerima satu laporan polis berkaitan satu rakaman video yang tular di media sosial.

Kenyataan media Ketua Polis Kelantan yang disiarkan pada 26 April 2026.

“Menerusi video berkenaan memaparkan seorang individu lelaki yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.

“Siasatan awal mendapati, individu berkenaan turut mendakwa bahawa beliau berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan memperdayakan anggota bertugas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kenyataan media Ketua Polis Kelantan yang disiarkan pada 26 April 2026.

Katanya, polis Kelantan menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan keselamatan atau menghakis keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa toleransi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.

Tindakan seorang ADUN Pas Kelantan yang dikatakan menganjurkan konvoi motosikal melalui LTSIP amat memalukan.

Semalam, ‘Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB YB’ anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Pemuda Pas Kelantan mendapat kecaman hebat di media sosial susulan atur cara program terbabit menyatakan antara lokasi yang akan dikunjungi ialah LTSIP (Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra) Pengkalan Chepa.

Konvoi yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud sekitar jam 5 petang semalam, bermula dari Kota Lama-LTSIP Pengkalan Chepa – Bandar-belakang AEON Mall.\\





No comments: