Kes fitnah akhirnya tamat , YDP Pas Tg Malim tetap kalah


 


Pertikaian saman fitnah membabitkan mudir Pondok Muallim Slim River, Mohd Tarmizi Ab Rahman, dan Yang Dipertua Pas Tanjung Malim, Mohd Faiz Zainal, berakhir selepas Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan bahawa kenyataan dibuat adalah bersifat fitnah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pengurangan bayaran ganti rugi yang sebelum ini diputuskan Mahkamah Sesyen Teluk Intan, dengan syarat ia dijelaskan secara ansuran.

Kes itu berpunca daripada pertikaian yang berlaku sekitar 2020 hingga 2021, ketika pemilihan Pas kawasan Tanjung Malim, yang menyaksikan beberapa tuduhan serius dilemparkan terhadap Mohd Tarmizi.

Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk tuduhan menyalahgunakan tanah wakaf, pengurusan kewangan pondok serta isu pentadbiran organisasi.

Dalam penghakiman pada 4 Julai 2025, Mahkamah Sesyen Teluk Intan memutuskan Mohd Faiz gagal membuktikan pembelaannya terhadap semua tuduhan tersebut.

Mahkamah turut mendapati kenyataan berunsur fitnah itu telah diterbitkan kepada pihak ketiga, termasuk melalui media sosial yang boleh diakses umum.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM200,000 serta mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang kenyataan sama diulangi.

Tidak berpuas hati, Mohd Faiz mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi mengetepikan keputusan tersebut.

Namun, Mahkamah Tinggi menolak rayuan itu dan mengekalkan dapatan bahawa kenyataan berkenaan adalah fitnah.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan bayaran dibuat secara ansuran selama 10 bulan, selain kos mahkamah sekitar RM9,000 turut dikenakan.

Keputusan itu sekali gus mengakhiri pertikaian undang-undang yang berlarutan beberapa tahun melibatkan kedua-dua pihak.

Kes berkenaan turut menarik perhatian kerana melibatkan institusi pendidikan agama serta kepimpinan politik di peringkat kawasan.

Dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu, proses perundangan kes ini dilihat telah selesai sepenuhnya.


No comments: