PARTI RAFIZI ANCAMAN SEBENAR KEPADA PKR




26 April 2026


Bekas Timbalan Presiden PKR yang bakal dipecat atau digantung, Rafizi Ramli sekali lagi bersuara mengenai parti baharu yang akan ditubuhkannya.


Katanya, parti baharu itu dijangka dapat diumumkan pada Jun depan.


Rafizi berkata, beliau perlu berbincang dengan rakan-rakannya terlebih dahulu mengenai perkara itu sebelum ia diumumkan.


“Saya sudah berjanji dengan kawan-kawan supaya saya ambil masa sehingga Jun untuk saya tanya dan bincang dengan kawan-kawan,” katanya kepada pemberita seusai Himpunan Tangkap Azam Baki di Dataran Merdeka semalam.


Pada Februari lalu, bekas Menteri Ekonomi itu buat pertama kali membayangkan bakal menubuhkan parti baharu bagi menghadapi PRU16 akan datang.


Parti baharu itu, selain kerana beliau sudah dikira berpatah arang dan berkerat rotan dengan PKR bagi meneruskan perjuangan politiknya, juga untuk memberi pilihan kepada pengundi.


Dengan sudah dua kali bercakap mengenai parti baharunya itu, di samping setiap minggu mengaktifkan diri dan tenaganya bersuara mengenai pelbagai isu dalam negara melalui podcast, adalah jelas Rafizi benar-benar serius mengenai hala tuju dan masa depannya.


Melalui parti baharu yang bakal diterajuinya itu, selain ia sesuatu yang baik agar rakyat tidak terikat dengan pilihan yang terhad, ia tentunya merupakan ancaman sebenar kepada PKR pada PRU16 akan datang.


Segmen pengundi bandar dan profesional Melayu serta  bukan Melayu, termasuk yang tidak berparti atau dikenali sebagai pengundi atas pagar yang selama ini menyokong PKR, sangat berpotensi untuk beralih kepada parti baharu Rafizi selepas ini.


Tambahan lagi, PKR selepas dapat kuasa seperti sudah hilang aura dalam memperjuangkan isu-isu penting secara terbuka.


Malah, PKR selepas ada kuasa mula melecehkan himpunan-himpunan jalanan, walhal melalui himpunan jalananlah parti itu dibidankan kelahirannya.


Jika Rafizi dapat menarik sokongan kelompok tersebut untuk beralih menyokong parti baharunya, PKR dan PH akan kehilangan segmen penting dalam perjuangannya.


Bersama prestasi PH sebagai kerajaan dan Anwar sebagai Perdana Menteri yang sentiasa dipertikaikan serta kini menerima lebih banyak emoji ketawa berbanding suka di media sosial, adalah dijangka PKR akan kehilangan banyak kerusi yang sebelum ini dimenanginya berikutan cabaran parti baharu Rafizi.


Meskipun parti Rafizi dijangka tidak akan bersama dengan blok pembangkang, tetapi dengan kehadiran parti itu yang mampu mengurangkan jumlah kemenangan kerusi oleh PKR, peluang Anwar untuk bertahan sebagai Perdana Menteri automatik menjadi tipis.


Dalam waktu yang sama, blok pembangkang PN akan jadi tambah selesa untuk mengepung kelompok pengundi Melayu yang setia mereka, selain berpotensi mendapat sokongan baharu pengundi yang sama.


Yang nyata dan boleh dijangka, kehadiran parti baharu Rafizi yang pasti disusuli dengan gerakan serta perancangannya yang kreatif dilakukannya selepas Jun nanti, suasana politik negara akan lebih bergegar lagi pada PRU16 akan datang.


Lebih malang, selepas Rafizi dikerat dan beliau sentiasa mengkritik  serta akan menubuhkan wadah baharu, tiada pimpinan lain dalam PKR yang mampu menangkis serangan-serangan dilakukannya.


Kekosongan beliau dalam PKR pula terbiar tidak diisi dan yang ternampak hanya Anwar seorang yang benar-benar aktif.


Anwar seorang diri, bagaimana hebat sekali pun, tidak mungkin mampu melakukan segala-galanya.


Kalau hanya seorang pergi berlawan, gajah yang besar pun akan tumbang. - ShahbudinHusin 26April2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1270266345096482&id=100063393840098





No comments: