AMANAH Kawasan Wangsa Maju berjaya menubuhkan 10 cawangan baharu, sekali gus mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh struktur organisasi akar umbi.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faris Arriffin berkata, penubuhan 10 cawangan baharu ini adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh jentera AMANAH secara menyeluruh di Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, Pemuda AMANAH mempunyai peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Fokus kita adalah memastikan setiap kawasan mempunyai kekuatan organisasi yang bersedia untuk menghadapi PRU, termasuk menyelaras gerak kerja di peringkat Parlimen agar lebih tersusun.
“Pemuda AMANAH memainkan peranan sebagai tulang belakang kepada kesiapsiagaan ini, khususnya dalam menggerakkan jentera di lapangan dan memastikan kita benar-benar bersedia mempertahankan kerusi Pakatan Harapan,” katanya dalam Majlis Penajaan Penubuhan Cawangan Wangsa Maju 2026 semalam.
Sementara itu, Setiausaha AMANAH Wangsa Maju, Hadi Kanis menyifatkan perkembangan ini sebagai isyarat kepada tahap kesiapsiagaan organisasi yang semakin matang dan tersusun.
Katanya, penambahan cawangan ini menunjukkan bahawa AMANAH berada dalam keadaan bersedia dari segi struktur dan jentera.
“Kita bukan sahaja memperluas kehadiran, tetapi memperkukuh keupayaan untuk berkhidmat kepada rakyat secara lebih tersusun dan berkesan.
“AMANAH Wangsa Maju juga siap siaga untuk memainkan peranan lebih besar, termasuk sekiranya diberi peluang untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen dalam Wilayah Persekutuan atau menyokong calon yang diputuskan oleh kepimpinan Pakatan Harapan atau mana-mana parti komponen dalam gabungan ini,” ujarnya.
Pada masa sama, majlis ini turut mengiktiraf usaha berterusan dalam menarik penyertaan golongan muda ke dalam parti, yang digerakkan secara aktif oleh Jawatankuasa Pemuda AMANAH WP, Ashraff Hussni, yang memainkan peranan penting dalam memperluas keahlian dan membinajaringan komuniti di Wangsa Maju.
Majlis penajaan ini menjadi platfom penting dalam menyatukan kepimpinan dan ahli di peringkat kawasan serta cawangan, di samping memperkukuh agenda Rahmah, Perpaduan dan Amanah sebagai teras perjuangan parti.
Dengan penubuhan cawangan-cawangan baharu ini, Wangsa Maju berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk terus menyumbang kepada usaha kolektif Pakatan Harapan dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat di kawasan ini.
No comments:
Post a Comment