
Enam maut dalam serangan Iran ke atas rejim Zionis Israel laknatullah di Beit Shemseh pada 1 Mac 2026. Foto Reuterd
BEIRUT, 2 Mac – Serangan besar-besaran Amerika Syarikat (AS) dan sekutu rapatnya, Israel, ke atas Iran sejak Sabtu lalu bukan saja menyaksikan konflik itu semakin memuncak, malah kini merebak di rantau Asia Barat dengan membabitkan sekurang-kurang lapan lagi negara.
Pergolakan semakin meruncing apabila Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan, termasuk ibu kotanya Beirut, hari ini, selepas kumpulan Hizbullah membedil roket ke arah Israel sebagai tindak balas atas pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Terbaharu, semua operasi kilang penapis minyak Saudi ARAMCO di Ras Tannoura digantung susulan serangan peluru berpandu Iran, menyebabkan bekalan minyak pasti terjejas tidak termasuk sekatan perjalanan kapal di Selat Hormuz.
“Pada masa sama, serangan berskala besar juga diteruskan ke atas Tehran,” kata tentera Israel tatkala pasukan AS memperhebatkan sasarannya ke serata Iran.

Sebagai tindak balas terhadap serangan bertubi-tubi di mana AS dakwa turut memusnahkan ibu pejabat Pengawal Revolusi Iran (IRGC), tentera republik Islam itu melancarkan bedilan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset AS merentasi Asia Barat.
Berdasarkan laporan Al Jazeera, setakat jam 3 petang GMT (11 malam waktu Malaysia) semalam, serangan Iran meragut sembilan nyawa dan mencederakan 121 lagi di Israel, Iraq (dua maut, lima cedera), Kuwait (seorang maut, 32 cedera), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (tiga maut, 58 cedera), Bahrain (empat cedera), Qatar (16 cedera) dan Oman (lima cedera).
Serangan turut dilaporkan berlaku di Arab Saudi dan Jordan tanpa sebarang kematian atau kecederaan direkodkan, setakat tempoh itu.

Selain itu, letupan kuat dilaporkan kedengaran di Doha, Dubai serta Manama pada pagi tadi.
Setakat tempoh sama, Iran dilaporkan mencatat 201 kematian dan 747 mangsa cedera akibat serangan AS-Israel.
Namun dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini, Kementerian Dalam Negeri Bahrain mengumumkan seorang terbunuh dan dua lagi cedera akibat serpihan yang jatuh daripada peluru berpandu yang dipintas.
Kementerian itu memaklumkan kebakaran berlaku di atas kapal asing yang sedang diselenggara di Salman Industrial City selepas serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh ke atasnya, menyebabkan seorang pekerja Asia maut, manakala dua lagi mengalami kecederaan serius. Api kemudian berjaya dikawal dan dipadamkan.

Terdahulu, Perintah Am Angkatan Pertahanan Bahrain mengesahkan sistem peluru berpandu pertahanan udaranya telah menangkis serangan Iran, dengan menyatakan sejumlah 61 peluru berpandu serta 34 dron berjaya dimusnahkan dan dipintas.
Seterusnya, Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media Iran melaporkan serangan udara AS-Israel turut menyasarkan Hospital Gandhi di utara Tehran, semalam.
Rakaman disiarkan televisyen kerajaan menunjukkan tingkap pecah dan kerosakan pada bahagian depan hospital berkenaan.
Susulan serangan itu, langkah keselamatan dipertingkatkan di sekitar hospital dengan pasukan perubatan menjalankan pemeriksaan di dalam bangunannya.
Dalam rakaman itu, jururawat dilihat mengeluarkan bayi baru lahir dari hospital dan cuba memindahkan mereka ke lokasi lain.
Terdahulu, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Iran mengeluarkan imej yang menunjukkan ibu pejabatnya dan beberapa hospital telah menjadi sasaran dalam serangan itu.
Semalam, tentera AS mengesahkan tiga anggotanya maut, manakala lima lagi parah – kematian pertama direkodkan sebelah pihak AS sejak serangan AS-Israel ke atas Iran meletus kelmarin.
“Tiga anggota tentera AS terbunuh, manakala lima pula parah ketika menjalankan Operasi ‘Epic Fury’. Beberapa anggota lagi mengalami kecederaan ringan akibat kesan serpihan serta gegaran otak, dan kini dalam proses untuk kembali bertugas,” menurut Pusat Command AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan.
Susulan itu, Presiden AS, Donald Trump, berikrar untuk membalas dendam atas kematian tiga anggota tentera terbabit.
Trump memberitahu New York Times bahawa AS dan Israel berupaya meneruskan serangan pada tahap sama selama empat hingga lima minggu.
“Ia tidak akan sukar. Kami memiliki jumlah amunisi yang besar,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau sudahpun menyenarai pendek tiga individu pilihannya – yang tidak dinyatakan nama – untuk memimpin Iran selepas perang itu.
Bagaimanapun, pemimpin Majlis Keselamatan Nasional Agung Iran, Ali Larijani, menyuarakan penentangan tegas.

“Iran tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat.
“Trump menjerumuskan rantau ini ke dalam kekacauan serta huru-hara dengan ‘fantasi khayalannya’ dan kini bimbang akan lebih banyak lagi kematian tentera AS,” katanya dalam hantaran melalui X.
Selain melancarkan serangan, Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut menggesa rakyat Iran supaya menggulingkan kerajaan negara mereka sendiri.
Bukan itu saja, Trump turut memberi amaran kepada IRGC supaya meletakkan senjata serta menyerah diri atau berdepan ‘kematian tertentu’ yang dahsyat.
Semalam, IRGC mendakwa bahawa pihaknya telah menyerang kapal induk USS Abraham Lincoln di Teluk, namun Pentagon mendakwa peluru berpandu yang dilancarkan itu tidak sampai ke sasaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Hizbullah hari ini mengumumkan pihaknya telah membedil roket dan dron dari selatan Lubnan yang menyasarkan tapak pertahanan peluru berpandu Israel di selatan bandar Haifa.
Menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan, serangan berkenaan menyasarkan tapak pertahanan udara Mishmar HaCarmel sejurus selepas tengah malam.
Hizbullah menyifatkan operasi itu sebagai ‘tindak balas pertahanan yang sah’, selain menyatakan serangan dan pembunuhan berterusan oleh Israel mewajarkan tindakan balas.
Kumpulan itu sekali gus menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya menghentikan pencerobohan AS-Israel terhadap Lubnan.
Namun Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, hari ini berkata pelancaran roket dari selatan Lubnan itu adalah ‘tindakan tidak bertanggungjawab serta mencurigakan’ yang membahayakan keselamatan negara dan memberi alasan kepada Israel untuk meneruskan serangannya.

Salam berkata, tidak kira siapa pun dalang di sebalik kejadian itu, pelancaran roket berkenaan mengancam keselamatan serta kestabilan Lubnan.
Katanya, Lubnan ‘tidak akan membenarkan negara terjerumus ke dalam konflik baharu’, dan pihak berkuasa akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab, serta melindungi rakyat Lubnan.
Sementara itu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, semalam berkata beliau akan membenarkan AS menggunakan pangkalan United Kingdom (UK) untuk serangan ‘defensif’, namun Britain tidak akan menyertai tindakan ofensif buat masa ini.


No comments:
Post a Comment