Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA
Ceh, lakonan semata-mata! Aku langsung tak percaya dengan gegak-gempita segolongan penentang kuil haram. Bagi aku, kebanyakan mereka ini fake. Penipu.
Memang ada yang tulen, tapi sedikit. Majoritinya lakonan semata-mata. Hipokrit.
Aku ulangi. Lakonan.
Kenapa aku cakap macam ni?
Ingat balik masa PH1.0. Pembangkang waktu itu main sentimen kaum dan agama habis-habisan. Mereka kaitkan dengan DAP, Cina dan Kristian.
Waktu itu Cina mabuk bawa kereta dan kemalangan dikatakan mereka sengaja mabuk sebab hendak langgar orang Melayu.
Setiap kali ada pemandu mabuk kemalangan, mereka akan kata bangsa DAP sengaja nak langgar orang Melayu.
Tapi bila parti yang mereka sokong jadi kerajaan 33 bulan, dan berlaku banyak kemalangan serupa, mereka senyap sunyi. Tak berkutik pun.
Kalau sebelum itu hentam PH1.0 kerana tak tutup kilang arak dan tak hentikan penjualannya, tapi apabila parti yang mereka sokong jadi kerajaan dan benarkan kilang arak terus beroperasi, jualan arak diteruskan, mereka semuanya bisu. Koma. Judi naik 22 pun mereka senyap.
Apabila PH1.0 bagi peruntukan untuk SJK, mereka jadikan isu kaum. Mereka kata DAP dan Cina kawal bajet.
Tapi apabila parti yang mereka sokong jadi kerajaan 33 bulan dan beri peruntukan yang banyak kepada SJK, bina lagi sekolah SJK, mereka tak marah pula. Tak melalak.
Ingat isu gadis Melayu Islam kahwin dengan lelaki Sikh di India dan seorang gadis Melayu buat lawak buka tudung? Kekasihnya bukan Islam.
Waktu itu ada dengar pejuang-pejuang bangsa dan agama ini pakai tanjak, badan menggigil, buat laporan polis, berarak dan berhimpun? Tak ada, kan.
Ah, banyak lagi kes kalau nak sebut satu demi satu. Konsert atas bawah, Billie Eilish pro LGBT. Budak-budak Melayu berlakon iklan judi masa bukan Ramadan. Kandang babi. 33 bulan itu mereka buat-buat meninggal.
Melompat keluar
Sekarang, apabila parti yang mereka sokong hilang kuasa, mereka tiba-tiba melompat keluar dari kubur dan pakai tanjak serta jubah semula.
Tengoklah isu kuil haram. Mengamuk kata kerajaan tunduk kepada Hindu. Mereka buat perhimpunan. Kecam dan caci maki PMX serta kerajaan. Label munafik, syaitan, anjing segala bagai. Fitnah bertebaran.
Tapi apabila didedahkan di Kedah ada banyak kuil haram dan MB Sanusi (cakap pelat Sahanusi) beritahu sudah beri lapan kuil ini tapak baru, mereka diam tak berkutik.
Kenapa tak caci maki macam mereka caci maki PMX & Madani? Kenapa tak berhimpun di Alor Setar?
Samalah waktu Pas-PN jadi kerajaaan 33 bulan, diumumkan bahawa sekurang-kurangnya 20 buah kuil haram diberi tanah baru, mereka senyap sunyi tak berkutik pun.
Kenapa tak marah Hadi Awang, TITMan, Sanusi dan semua pimpinan Pas serta Bersatu? Kenapa tak maki MCA dan Gerakan?
Sesedagha… ini semua lakonan. Aku ulangi, lakonan.
Ayat ‘Ini isu undang-undang, bukan anti Hindu’ hanyalah pemanis mulut untuk menutup niat politik sebenar mereka.
Kalau niat mereka memang kerana agama dan menegakkan undang-undang, kata-kata serta tindakan mesti seiring dan konsisten sepanjang masa. Konsisten baik ketika jadi pembangkang mahu pun kerajaan.
Bila tidak konsisten, maknanya itu lakonan. Hipokrit.
Percayalah, lakonan ini akan berterusan 25 jam sehari, 8 hari seminggu, sampai PRU16.
Kenapa? Sebab memainkan sentimen kaum dan agama adalah nyawa politik mereka. Kalau tak bakar sentimen, mereka akan mati.
Ditakdirkan kalau parti yang mereka sokong itu menang PRU16 dan jadi kerajaan, adakah parti terbabit dan para penganutnya akan bertindak sama macam sekarang? Jawapannya, TIDAK.
Ini kerana mana-mana kerajaan pun perlu bertindak mengikut undang-undang. Waktu itu penganut-penganutnya akan senyap dan buat-buat meninggal sekali lagi.
Ingat kes Arwah Adib? Ingat cerita hudud dan RUU355? Ramai yang telah dikafirkan, disyaitankan dan dibinatangkan kerana hudud dan RUU355, termasuklah aku. Tapi akhirnya… Hahaha… basah kepala.
Pada April 2021, ada peniaga jual seluar dalam yang tertulis ayat al-Quran di Sandakan, Sabah. Ia penghinaan kepada agama.
Ada anda dengar golongan itu mengamuk, berarak buat report polis, pakai tanjak dan badan menggigil? Takde ‘kan.
Ada anda dengar tindakan dan hukuman dikenakan kepada peniaga terbabit? Saya tak dengar pun. Tak tahulah kalau saya terlepas kereta api.
Tapi yang pasti, waktu itu senyap sunyi, tidak berkutik dan marah-marah macam sekarang.
Three… two… one… Action!!!
No comments:
Post a Comment