02 Mac 2026
Mesyuarat MPP PKR semalam memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Rafizi Ramli yang sebelum itu telah diberikan surat tunjuk sebab.
Meleset daripada jangkaan dan kemahuan sesetengah pihak, Ahli Parlimen Pandan itu bukan saja tidak dipecat, tidak digantung keahlian dan tidak juga diberi sebarang amaran.
“Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti,” demikian kata Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dalam kenyataan selepas mesyuarat MPP petang semalam.
Pun begitu, di sebalik tiada apa-apa tindakan dikenakan terhadapnya, Rafizi dalam masa yang sama diperingatkan agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti.
Dengan peringatan ini, ia juga boleh dianggap suatu amaran halus kepada Rafizi.
Ini kerana sebagaimana semua sedia maklum, selain kerap mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan, parti serta Anwar Ibrahim, bekas Menteri Ekonomi itu juga mempunyai podcast mingguannya Yang Berhenti Menteri pada setiap Jumaat malam.
Dalam program tersebut, Rafizi secara terbuka banyak mengkritik Anwar dan kerajaan, termasuk banyak mendedahkan cerita-cerita dalaman berkaitan parti dan pemimpin tertentu PKR.
Kritikan dan pendedahan yang dibuatnya itu tidak mustahil, tanpa disedarinya mungkin melanggar kod tata etika dan disiplin tertentu parti.
Ini kerana tafsiran berkaitan pelanggaran kod tata etika dan disiplin parti adalah luas dan menjadi hak kepada pimpinan parti membuat tafsiran.
Sama seperti surat tunjuk sebab kepada Rafizi sebelum ini di mana kenyataannya yang membayangkan tidak akan bertanding atas tiket PKR pada PRU akan datang telah ditafsirkan sebagai hasrat ingin keluar parti.
Mujur Rafizi cekap dan pandai mengolah ayat dalam menjawab surat tunjuk sebab itu.
Jawapannya itulah yang dipercayai membuatkan PKR tidak jadi mengambil apa-apa tindakan terhadapnya.
Apa pun, Rafizi kena berhati-hati kerana beliau belum lagi selamat sepenuhnya.
Terlepas daripada hukuman daripada satu surat tunjuk sebab tidak bermakna terlepas selama-lamanya.
Apatah lagi kerana peringatan sudah diberikan kepadanya.
Jika selepas ini beliau terus mengkritik Anwar dan PKR dalam podcast mingguannya atau ada mengeluarkan kenyataan melalui pelbagai platform yang boleh dianggap menyinggung parti, tidak mustahil surat tunjuk sebab akan menyusul lagi.
Dan satu perkara yang Rafizi harus sedari ialah oleh kerana beliau kini sudah dianggap sebagai “duri” kepada Anwar dan PKR, semua kenyataannya selepas ini pasti akan lebih dipantau dan diteliti.
Lantaran itu, beliau kena lebih berhati-hati.
Melainkan jika Rafizi memang ingin PKR memecatnya supaya pilihan yang ingin disediakannya kepada pengundi pada PRU16 akan datang sudah siap sedia untuk dilancarkan, maka tiada masalah untuk beliau terus “lepas cakap” semahunya selepas ini. - ShahbudinHusin 02Mac2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1227689192687531&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment