13 AHLI PARLIMEN BERSATU ‘TAMPAR’ BERSATU




02 MAC  2026


Alamakkk…ini ibarat suatu “penampar” kepada Bersatu.


Di ketika Bersatu terus menekan dan mendesak agar PAS segera menamakan Ketua Pembangkang baharu, meskipun Ketua Whip PN, Takiyuddin Hasan menegaskan  bahawa kedudukan Hamzah Zainuddin adalah kekal buat ketika ini, apa yang berlaku hari  ini benar-benar merupakan tamparan memalukan kepada parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.


Ia malah merupakan tamparan paling tepat ke pipi Bersatu.


Tamparan tersebut ialah berikutan seramai  13 Ahli Parlimen Bersatu sendiri memutuskan untuk terus menyokong Hamzah yang dipecat daripada parti itu kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.


Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee memaklumkan pendirian tersebut menerusi surat rasmi yang dihantar kepada Takiyuddin selaku Ketua Whip PN di Parlimen.


Surat tersebut menyatakan ketetapan berkenaan dibuat secara kolektif dan melibatkan majoriti Ahli-Ahli Parlimen Bersatu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A.


“Seramai 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara kolektif dan majoriti telah membuat ketetapan untuk menyokong dan mengekalkan Ahli Parlimen Larut, YB Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A,” tulis Ronald Kiandee dalam suratnya itu.


Dalam surat tersebut turut dilampirkan senarai 13 Ahli Parlimen terbabit iaitu Ronald sendiri; Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Khlir Mohd Nor (Ketereh); Zakri Hassan (Kangar); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).


Dalam suratnya, Ronald juga menegaskan komitmen Ahli Parlimen Bersatu untuk terus memperjuangkan suara rakyat dan melaksanakan fungsi semak dan imbang, termasuk dalam baki sesi Parlimen sekarang yang tinggal berbaki hanya tinggal beberapa hari.


“Kami akan terus memberikan tumpuan dan fokus bagi menjulang suara rakyat, mengangkat kepentingan nasional serta melakukan peranan semak dan imbang dengan penuh tanggungjawab,” tambahnya.


Dengan pendirian 13 Ahli Parlimen ini, Bersatu sebaiknya tidak perlu bersuara lagi mengenai pertukaran Ketua Pembangkang di Parlimen.


Apalagi jika yang bersuara itu bukan merupakan Ahli Parlimen Bersatu.


Soal jawatan dalam Parlimen, termasuk Ketua Pembangkang, biarlah ia ditentu dan diputuskan oleh Ahli-Ahli Parlimen saja.


Tamparan 13 Ahli Parlimen ini wajib membuatkan Bersatu malu untuk terus bersuara lagi mengenai jawatan Ketua Pembangkang. - ShahbudinHusin 02Mac2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1227974859325631&id=100063393840098




No comments: