Saman Pemula Bekas Menteri, Waytha Moorthy Hanya Untuk Kacau Anwar!

 


Peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, berhujah pada prosiding permohonan Anwar untuk membatalkan saman pemula itu, berkata Perkara 118 melarang sesuatu pilihan raya dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya, termasuk yang difailkan Waytha Moorthy.

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Saman pemula difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun, melanggar Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu berhubung perkara itu.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, berhujah pada prosiding permohonan Anwar untuk membatalkan saman pemula itu, berkata Perkara 118 melarang sesuatu pilihan raya dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya.

Beliau berkata, saman pemula berkenaan yang difailkan 12 Ogos tahun lalu, tidak difailkan di hadapan seorang hakim pilihan raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Hipokrasi Waytha Moorthy terserlah kerana pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Integrasi) di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto China Press

Katanya, Waytha Moorthy juga tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan bagi mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 34 AKPR 1954.

“Saman pemula ini difailkan di luar tempoh masa mandatori bagi memfailkan petisyen pilihan raya sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 38 AKPR 1954.

“Ia dimulakan bagi tujuan yang tidak wajar dan tujuan sampingan, termasuk untuk meraih keuntungan politik, mengekalkan relevan dari segi politik, dan untuk mengganggu defendan (Anwar).

P Waytha Moorthy, mohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas ketua hakim negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Sehubungan itu, adalah jelas bahawa relif yang dipohon melalui saman pemula ini, pada hakikat dan kesannya, adalah relif yang hanya boleh dituntut melalui petisyen pilihan raya.

“Oleh yang demikian, kami menghujahkan bahawa saman pemula ini yang dimulakan sebagai suatu tindakan sivil biasa dan bukannya sebagai petisyen pilihan raya bertentangan dan cuba mengelak Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, justeru wajar dibatalkan kerana jelas tidak mampan.

“Sebagai alternatif, kami menghujahkan saman pemula ini remeh atau menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah, dan oleh itu wajar dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, peguam S Karthigesan mewakili Waytha Moorthy berhujah, Anwar tersalah nyata dengan kes plaintif dengan menyatakan bahawa plaintif hanya merungut mengenai kecacatan prosedur semata-mata.

Beliau berkata, adidavit anak guamnya secara nyata menghujahkan bahawa: pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak secara jelas menyingkirkan hilang kelayakan di bawah Perkara 48 perlembagaan.

Peguam itu berkata, pemilihan dan pelantikan seterusnya Anwar adalah tidak sah di sisi perlembagaan menurut Perkara 50.

“Hujahan ini membangkitkan persoalan perlembagaan yang substantif dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja sebagai suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Hakim Alice Loke Yee Ching kemudian menetapkan 18 Mac ini untuk menyampaikan keputusannya.

Turut hadir, Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Pada 10 Oktober 2025, Anwar memohon untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan ia melanggar pelbagai prosedur dan keperluan perlembagaan serta berkanun lain mandatori, yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.

Anwar menegaskan, saman berkenaan tidak berasas, dan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 12 Ogos tahun lalu bagi perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Pada 14 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media memaklumkan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.




No comments: