Ucapan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa industri halal Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand, dipersoal ramai.
Dalam ucapan di Dewan Rakyat baru-baru ini beliau mendakwa Indonesia telah berjaya meningkatkan eksport produk halal kepada USD10 bilion pada tahun 2023, manakala Thailand meningkat kepada USD6 bilion pada tahun sama.
Sebaliknya kata beliau, eksport produk halal Malaysia hanya mencapai USD12 bilion yang mana peningkatan ini tidak seimbang dengan potensi besar dimiliki Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal global.
Data perbandingan yang dikeluarkan wakil rakyat Pas itu mengundang rasa pelik ramai bagaimana Malaysia boleh dianggap jauh ketinggalan sedangkan eksport produk halal negara ini jauh lebih besar berbanding dua negara yang disebutkan.
Poster beliau dengan ucapannya tentang industri halal negara ada dimuat naik di Facebook rasmi Pemuda Pas Malaysia.
Orang ramai mempersoal apa yang cuba disampaikan kerana fakta yang dikemukakan membuatkan ramai keliru.
Kata mereka jika Ahmad Fadhli hendak membandingkan perkembangan tahunan Malaysia yang bergerak perlahan berbanding Indonesia, beliau sepatutnya menggunakan frasa ayat yang betul.
Mereka juga mempersoal sama ada beliau membuat semakan atau tidak teks yang disediakan sebelum dibaca.
“Ini masalah bila tak lulus SPM. Beza angka 6, 10 dan 12 pun tak tahu mana kecil dan mana besar,” kata warganet.