Perdana Menteri menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan perjuangan dan agenda reformasi yang telah didukung bersama selama ini.
Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak mengemudi negara dua tahun lalu, kerajaan masih mendukung perjuangan sama yakni memastikan Malaysia diangkat sebagai negara hebat, bersatu serta menjuarai hak setiap rakyat, tanpa meminggirkan identiti asas negara.
“Justeru di hadapan teman-teman seperjuangan, saya menyatakan dengan tegas bahawa saya dan Kerajaan MADANI tidak pernah meninggalkan perjuangan dan agenda reformasi.
“Reformasi ini telah bermula dengan memperbetulkan tatakelola bagi melawan rasuah yang sistemik dan tadbir urus lemah.
“Saya mulakan dengan menghapuskan amalan rundingan terus dan pengaruh menteri dalam perolehan kerajaan — reformasi penting namun dipandang enteng pengkritik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Presiden PKR itu berkata, beliau mendengar desakan-desakan untuk menyegerakan reformasi, namun sejarah mengajar untuk pintar dan cermat dalam membawa perubahan tanpa mengorbankan kestabilan negara.
Beliau turut menyinggung mengenai suara “memualkan” yang kononnya mendakwa kerajaan gagal melaksanakan agenda reformasi dalam tempoh dua tahun ini, sedangkan kata Anwar, mereka jugalah yang sebelum ini sanggup mencium kaki penyakau dan perasuah.
“Kerajaan MADANI harus terus kukuh, bersama dan kekal mentadbir untuk merealisasikan agenda reformasi ini, kerana kegagalan bererti negara ini akan kembali di bawah pemerintahan pelampau agama dan perkauman.
“Terima kasih saudara Kit yang terus menjadi teman sejati yang setia. Saya hargai setiap pandangan, nasihat dan sokongan untuk kita menyaksikan agenda reformasi menjadi kenyataan demi sebuah negara Malaysia yang lebih baik,” katanya selepas meluncurkan memoir Tan Sri Lim Kit Siang bertajuk ‘Malaysian First’.