IPOH, 20 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai.
Perdana Menteri, berkata keputusan itu tertakluk kepada kuasa mahkamah dan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan tidak wajar menyamakan pentadbirannya dengan pentadbiran terdahulu berkaitan kes di mahkamah.
“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah.
“Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau dirasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan buku Lim Kit Siang: ‘Malaysian First’ Jilid 1 dan 2 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan pengarang buku, Kee Thuan Chey.
Anwar juga berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak sama dengan pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Adalah tidak munasabah untuk menjangkakan pentadbiran saya seperti pentadbiran dulu di mana Perdana Menteri boleh panggil hakim dan bagi arahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan susulan.
“Pelbagai tafsiran ada, yang saya tahu ini keputusan mahkamah dan terserah kepada Peguam Negara untuk ambil tindakan berikutnya.
“Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara.
“Namun, saya tidak fikir hal-hal perkara ini harus jadi kontroversi. DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) kepada pembangkang ramai dan keputusan ini sudah diambil dan kita akan baca dan teliti keputusan hakim,” katanya.
Hakim K Muniandy dalam keputusannya semalam memutuskan pertuduhan terhadap Rosmah, 73, adalah tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017, dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Pihak pendakwaan mengesahkan bahawa notis rayuan difailkan hari ini terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi itu untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.