Krismas: Tol Percuma Bagi Kenderaan Kelas 1 Pada 23 Dan 24 Disember

 


Kenderaan persendirian Kelas 1 akan mendapat pengecualian tol di semua lebuh raya sempena perayaan Krismas mulai jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kenderaan persendirian Kelas 1 akan mendapat pengecualian tol di semua lebuh raya sempena perayaan Krismas mulai jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).

Pengecualian tol hanya akan diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 sahaja selaras dengan aspirasi “MADANI di Hati, Rakyat Disantuni” sempena perayaan Hari Krismas 2024.

Beliau berkata pengecualian tol itu akan menyebabkan kerajaan menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM 38 juta bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol terbabit.

“Pengecualian tol ini diharapkan dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia MADANI yang berbilang kaum, budaya dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian,” katanya dalam kenyataan.

Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pemberian pengecualian tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa musim cuti.

Pengguna juga dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini.

Pengguna juga dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh bagi pengalaman pemanduan yang selamat, memastikan kondisi kenderaan dan tayar kenderaan sentiasa baik serta baki kad Touch ‘n Go serta eWallet yang mencukupi.

Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).

Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa.

Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk berhati-hati terutama semasa trafik tinggi di lebuh raya. Pastikan berhenti di tempat teduhan yang telah disediakan di lokasi terpilih di sepanjang lebuh raya serta sentiasa peka dan berwaspada apabila menghampiri laluan Smart Lane yang diaktifkan.

Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mengetahui keadaan trafik terkini atau bantuan.

Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my

Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.