Kelewatan dua projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau sememangnya memberi kesan kepada rakyat Kedah.
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Mohammad Fitri Ismail menyeru kerajaan negeri melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyelesaikan segera projek sakit itu.
Hal itu katanya, SADA dilihat perlahan dalam mengendalikan projek rawatan air bersih itu sehingga menyukar rakyat Kedah dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
Malah beliau yang juga Ketua AMK Merbok, memaklumkan masalah bekalan air itu memberi kesan kepada penduduk Merbok sejak sembilan tahun lalu.
“Ramai terkesan kita faham mungkin tidak dapat diselesaikan pada Raya ini akan tetapi komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri itu perlu ada kerana masalah ini sudah berlaku sejak 9 tahun lalu,” katanya kepada Suara Keadilan.
Tambahnya, masalah bekalan air itu bukan sahaja menyukarkan kehidupan seharian malah dibimbangi akan memberi kesan kepada penurunan nilai hartanah di Sungai Petani dan Merbok yang kian meningkat ketika ini.
“Oleh itu, kerajaan negeri perlu ada ikhtizam dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.