Alhamdulillah, selamat tiba ke Riyadh, Arab Saudi bersama delegasi Malaysia malam tadi untuk menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) selama dua hari sehingga Isnin.
Saya disambut Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan diiringi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, serta Naib Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Waleed A Elkhereiji.
Insya-Allah bermula hari ini, saya bersama menteri-menteri kanan serta delegasi Malaysia yang lain akan menghadiri persidangan serta mengadakan beberapa pertemuan penting bersama pimpinan dunia dan ketua-ketua korporat global.
Pertemuan dan persidangan ini antara lain akan menyentuh perkara-perkara terkait kepentingan negara, bermula dengan sesi Plenari Pembukaan bertemakan Visi Baharu Pembangunan Global pagi ini di mana saya akan menyampaikan ucapan.
Doakan kejayaan buat delegasi Malaysia dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu serta berkongsi dasar dan hala tuju negara, di samping mempertegas pendirian negara dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin-pemimpin dunia.
#MalaysiaMADANI