Sokongan kepada PH tak terjejas kehadiran Tun M di pentas Pas



 



Tindakan Pas duduk sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai satu tindakan terdesak.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui tindakan itu Perikatan Nasional seolah-olah sudah tiada ruang lain apabila mengheret Dr Mahathir untuk berceramah.


"Dia (Pas) heret Tun M, orang yang paling kejam terhadap Pas, (henti dana) Sekolah Agama Rakyat dan mangsa Memali.


"Sekarang ini, dia (Tun M) didokong. Takpalah, itu hak dia," katanya dipetik selepas Program Sentuhan Madani Felda di Felda Chiku 5 semalam.


Mahathir membuat kemunculan pertama beliau di atas pentas PN di Kelantan, dengan menyarungkan jeket Pas, dia menyampaikan ucapan di hadapan penyokong parti itu.


Mahathir sebelum ini adalah musuh tradisi Pas.


Dengan berada di atas pentas Pas, kesilapan yang pernah dilakukan Mahathir kepada parti itu sebelum ini terampun.


Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas sedia menerima negarawan ulung itu yang dilihat sudah berubah dalam konteks perjuangan, biar pun Mahathir tidak pernah meminta maaf atas kesilapan lalunya.


Bagi Anwar, tindakan bekas Perdana Menteri itu tidak menjejaskan sokongan kepada PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.


No comments: