PM bakal umum 'berita baik' bagi penjawat awam






 

Penjawat awam termasuk warga pendidik bakal menerima berita gembira dalam tempoh dua minggu lagi.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengumumkan imbuhan sementara menunggu pelarasan gaji penjawat awam yang dijangka selesai dalam tempoh lima hingga enam bulan.


"Saya akan mempengerusikan pengurusan mesyuarat pertama pelarasan skim gaji itu pada minggu depan.


"Pendekatan skim pelarasan gaji yang lama perlu dirombak. Jadi, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh masa seminggu sehingga dua minggu lagi," katanya dipetik.


Perkara itu dinyatakan Anwar pada ucapan di Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian semalam.


"Imbuhan tetap itu sudah beberapa bulan dikaji, namun ia lewat diumumkan berikutan masih belum mendapat kelulusan, kini sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan," tambahnya.


Menyentuh mengenai pelarasan gaji penjawat awam, Anwar memberitahu, beliau berhasrat untuk menyeragamkan gaji antara guru dan penjawat awam supaya kadarnya munasabah.


Katanya, pelarasan itu juga akan dibuat selepas melihat negara-negara lain yang mempunyai taraf kedudukan ekonomi yang sama dengan Malaysia.


"Selain itu, kerajaan akan membuat penyusunan semula skim gaji penjawat awam. Pelarasan itu boleh dianggap drastik kerana ia dilakukan secara menyeluruh," ujar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.



No comments: