Peneroka Felda Chiku 3 diberi kemudahan pusat dialisis



 Sebuah pusat dialisis bakal dibina di Felda Chiku 3 dekat Gua Musang bagi memastikan peneroka yang menghidap penyakit buah pinggang boleh mendapatkan rawatan sempurna.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peneroka di tanah rancangan telah berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan di hospital dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.


"Di Felda ini iaitu di Hulu Kelantan, kita mengumumkan akan mengadakan Pusat Dialisis di Chiku 3 kerana peneroka susah untuk pergi ke hospital," katanya dipetik selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Felda semalam.


Felda Chiku 3 terletak di tengah-tengah laluan utama Gua Musang ke Kuala Krai iaitu 48 km dari Gua Musang dan 70 km dari Kuala Krai dan berada dalam Jajahan Gua Musang.


Difahamkan, penduduk yang tidak memiliki kenderaan bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bas dan kereta sewa untuk ke bandar berhampiran.


Sementara itu Anwar menambah, selain akan memastikan perkhidmatan kesihatan untuk peneroka Felda dipertingkat, Kerajaan Persekutuan juga turut memberi fokus terhadap isu pemilikan tanah bagi generasi baharu Felda yang memerlukan keterlibatan kerajaan negeri.


"Kita harap ada perubahan supaya kerajaan negeri boleh betul-betul bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan perubahan bagi peneroka generasi baharu ini," katanya.


Beliau juga mahu isu masalah liputan Internet dan baik pulih tandas sekolah di kawasan tanah rancangan Felda turut diatasi segera.

No comments: