Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor yang sedang berdepan kes mahkamah di bawah Akta Hasutan kerana memperlekeh serta mempertikai kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor, kini tampil dengan teori baru yang benar-benar mengarut serta merepek.
Beliau mendakwa, rancangan untuk menangkapnya dan menjejaskan kredibilitinya sudah bermula sejak enam bulan lalu.
“Plot untuk tangkap saya sudah dirancang sejak enam bulan lalu, saya tahu dah, saya ada ‘inteligent’ saya, jumpa orang tu pesan jaga-jaga ada orang nak buat (sesuatu) kepada saya.
“Untuk keselamatan, saya ada pistol dalam kereta 24 jam, ada dua kelopak, 14 peluru satu kelopak, 24 jam berjaga-jaga takut orang buat jahat, orang tak buat jahat saya tak buat jahat pada orang.
“Sudah enam bulan kawan-kawan pesan, yang penting tangkap gari saya, jatuhkan moral dan hilang kredibiliti, selepas itu ceramah orang tak dengar lagi kerana saya sudah dimalukan dengan tangkapan,” katanya ketia berucap di sebuah ceramah PN di Kuala Ketil, Kedah semalam, seperti dipetik Berita Harian.
Cuba kita fikir betul-betul, logik atau tidak dakwaan Sanusi itu?
Harus kita ingat, pendakwaan terhadap Sanusi adalah berkaitan ucapannya yang menyentuh kebijaksanaan serta keistimewaan Agong dan Sultan Selangor.
Beliau seterusnya ditahan pada jam 3.00 pagi untuk dibawa ke IPD Selayang, seterusnya diiringi polis ke Mahkamah Selayang untuk berdepan pendakwaan berikutan panggilan telefon daripada polis tidak dijawabnya, malah di-rejectnya.
Pendakwaan dan tangkapan terhadapnya bukan kerana menyerang Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, mana-mana menteri atau lain-lain figura politik di negara ini.
Sekali lagi ditekankan, pendakwaan dan tindakan menahannya pada jam 3.00 adalah berkaitan ucapannya berkaitan Raja-Raja dan bukan kepada mana-mana pemimpin politik.
Dengan itu, di mana logiknya bila Sanusi mendakwa ada rancangan atau komplot untuk menangkapnya sejak enam bulan dulu lagi?
Beliau didakwa di mahkamah dan ditahan hanyalah kerana ucapan yang dibuatnya baru-baru ini.
Sebagaimana banyak ucapannya yang merepek dan merapu, dakwaan terbaru ini juga sama kategorinya.
Kalau benar sudah ada rancangan untuk menangkapnya sejak enam bulan dulu, tentulah kesnya bukan berkaitan singgungannya terhadap Raja-Raja, tetapi berdasarkan kes lain yang ada kaitan dengan politik.
Dakwaan Sanusi itu hanya boleh dikira sahih jika beliau sebenarnya memang sudah merancang untuk memperlekeh serta mempertikai kebijaksanaan Agong dan Sultan Selangor sejak lebih enam bulan sebelum ini lagi.
Mana tahu, entah-entah sejak enam atau tujuh bulan dulu lagi Sanusi sudah ada perancangan demikian.
Jika tidak, mana mungkin ada rancangan untuk menangkap bermula sejak enam bulan dulu lagi sebagaimana didakwanya itu.
Apa pun, seperti kata Anwar Ibrahim semalam – kamu cerca Raja, itu nasib kamulah!! – ShahbudinHusin 23/07/2023.