BUANG MASA SAJA HAMZAH MAHU DEDAH SURAT SAIFUDDIN KETIKA KEMPEN PRN INI

 

Selain tidak mampu menambah sebarang undi kepada PN, mendedahkan surat itu hanya mendedahkan lemahnya Hamzah ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri….



BUANG MASA SAJA HAMZAH MAHU DEDAH SURAT SAIFUDDIN KETIKA KEMPEN PRN INI 


Walaupun sudah dinafikan, bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin nampaknya tetap berkeras mahu mendedahkan surat daripada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasition Ismail yang didakwa dihantar kepadanya konon bagi meminta pemilihan PKR yang lalu dibatalkan.


Hamzah memberitahu pemberita di Tanjong Karang malam tadi bahawa beliau akan mendedahkan surat itu dalam kempen PN di Kedah tidak lama lagi.


“Itu tunggu. Saya katakan bersiri.


“Saya cakap dengan orang Kedah bahawa saya akan turun kembali ke Kedah dan saya akan tunjuk surat yang dia hantar pada saya,” katanya lagi.


Berikutan pendedahan Hamzah bahawa Saifuddin pernah menghantar surat kepadanya meminta agar pemilihan PKR dibatalkan, Setiausaha Agung PKR itu yang kini merupakan Menteri Dalam Negeri segera menafikannya dan menyifatkan dakwaan Hamzah terhadapnya tidak lebih hanya sekadar “kenyataan politik” semata-mata.


Saifuddin berkata, jika beliau mahu membatalkan keputusan pemilihan parti tahun lalu itu, beliau boleh melakukannya dalam dua jawapannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), apabila badan itu mengeluarkan dua surat tunjuk sebab kepada PKR.


Tentunya kerana tidak puas hati dengan jawapan Saifuddin itu, Hamzah kini memutuskan untuk mendedahkan surat Saifuddin itu?


Perlukah Hamzah berbuat demikian?


Sekarang adalah waktu kempen PRN dan sebarang ucapan atau pendedahahan ketika kempen ini seharusnya boleh membantu PN ke arah memperolehi undi.


Malangnya, tindakan Hamzah membuat dakwaan tentang wujudnya surat Saifuddin kepadanya itu langsung tidak membantu PN memperolehi undi tambahan daripada rakyat Kedah.


Apa kaitan surat itu dengan PRN dan kepada rakyat Kedah?


Hamzah patut mencari isu lain jika ingin menambahkan undi kepada PN yang kini semakin terjejas berikutan onar Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah yang memperlekeh Raja-Raja sehingga didakwa di mahkamah, selain isu nadir bumi yang dijangka lebih banyak tangkapan akan dilakukan oleh pihak berkuasa.


Lagi pula, isu pemilihan dalam PKR telah selesai dan meskipun Saifuddin kalah kepada Rafizi Ramli bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden, kedua-dua pemimpin berkenaan telah memilih untuk bersatu serta sama-sama bekerja keras untuk kemenangan PH pada PRU15 lalu.


Disebabkan kesediaan mereka melupakan isu pemilihan tersebut dan kedua-duanya saling bekerja keras, itulah yang sebahagiannya menyumbang kepada kepada kemampuan PH memenangi 82 kerusi iaitu paling tinggi berbanding PN dan juga BN.


Kini juga, Saifuddin dan Rafizi sama-sama anggota jemaah menteri dan mereka saling fokus serta melengkapi untuk terus memperkukuh parti dan berkhidmat untuk negara.


Maka itu, langsung tidak relevan sebenarnya untuk Hamzah bercakap mengenai surat itu.


Selain tidak relevan, adalah membuang masa juga bagi Hamzah bercakap tentang surat itu pada ketika ini kerana Saifuddin dan Rafizi tidak pernah memanjangkan isu pemilihan itu sebaik ianya berakhir.


Tambahan lagi, yang salahnya dalam hal ini, jika benar Saifuddin ada menulis surat kepadanya meminta pemilihan PKR itu dibatalkan, ialah Hamzah sendiri.


Kenapa beliau tidak membatalkan saja pemilihan PKR kalau benar perkara itu yang diminta oleh Saifuddin?


Bukankah jika pemilihan PKR itu dibatalkannya, parti itu akan jadi lebih berpecah dan PH tidak mungkin mampu menang sehingga 82 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu?


Oleh kerana beliau sendiri enggan membatalkan pemilihan PKR, mendedahkan wujud surat berkenaan ketika ini sudah tidak bermakna apa-apa lagi.


Ia malah hanya mendedahkan kelemahan dan ketidakcekapan Hamzah sendiri ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. – ShahbudinHusin 24/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: