TUAN BRAHIM JANGAN GABRA-MENGAPA TUAN IBRAHIM TAK HABIS-HABIS MENCECEH BERKENAAN PROJEK TEBATAN BANJIR?

 

Entah atas sebab apa, kemarahan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung pembatalan projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion nampaknya masih belum berakhir sampai sekarang.

Keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membatalkan projek yang diberi secara runding terus itu dan menukarnya kepada tender terbuka, sehingga kini terus dicecehnya seperti tidak ada kesudahannya.

Sebelum ini, sudah banyak kali beliau mempertikaikan keputusan Anwar itu – sama ada di dalam atau di luar Parlimen – termasuk menghujahkan bagaimana RM2 bilion dapat dijimatkan, sedangkan ia belum lagi dilaksanakan.

Seterusnya, beliau juga mempertikaikan bagaimana projek tebatan banjir itu boleh dibatalkan, walhal ia belum lagi diserahkan kepada mana-mana syarikat untuk melaksanakannya.

Begitu pun, hujah Tuan Ibrahim itu disanggah oleh Anwar di Parlimen dengan mengatakan, dakwaan itu tidak betul sama sekali.

“Ada surat kelulusan telah dikeluarkan dan apabila kerajaan bertukar, ia sempat ditahan,” tegas Anwar.

Berikutan banjir melanda di Johor baru-baru ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan, kerajaan akan mempercepatkan projek tebatan banjir termasuk di negeri tersebut dengan menggunakan kaedah ‘fast-track’ atau pantas dalam kelulusan tender, meskipun diperkenalkan melalui sistem tender terhad.

Katanya, kaedah itu diputuskan agar ia dapat dilaksanakan dengan segera.

“Kalau kita guna proses tender biasa, ia tidak boleh (diselesaikan) dalam bulan Jun dan Julai.

“Jadi, saya minta fast track (supaya) diselesaikan bulan Jun dan take off pada Julai,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim, juga di Parlimen.

Terbaru, Tuan Ibrahim hari ini sekali lagi tampil bersuara mengenai projek tebatan banjir itu.

Kali ini, beliau mempertikaikan pula mengenai kaedah sistem tender terbuka yang diperkenalkan terhadap perlaksanaan projek tersebut.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mempertahan projek tebatan banjir berjumlah RM15 bilion yang dianugerahkan secara rundingan terus sewaktu beliau menjadi menteri yang bertanggungjawab bagi projek itu.

Menurut beliau, penyelewengan tetap akan berlaku dalam sistem tender terbuka sekiranya tidak dilaksana secara telus dan jujur.

Video Player
00:00
03:49

Apa ni Tuan Ibrahim, tak habis-habis lagi bercakap soal projek tebatan banjir?

Ada apa-apa ke, tidak bolehkah berlapang dada menyerahkan kepada kerajaan semasa melaksanakan projek itu dengan kaedah yang difikirkan lebih baik lagi?

Kenapa marah dengan tender terbuka dan mengaitkan dengan sikap tidak jujur serta tidak telus?

Kalau nak bercakap soal tidak jujur atau tidak telus, jangankan dalam sistem tender terbuka, orang pakai kopiah dan berjubah pun didapati ramai terlibat skandal serta penyelewengan.

Begitu juga, jika nak bercakap soal tender terbuka tidak dapat menghalang penyelewengan, apakah kaedah runding terus yang dilaksanakan sebelum ini bebas daripada penyelewengan?

Bukankah, kalau pun berlaku juga penyelewengan, sistem tender terbuka lebih memungkinkan penyelewengan itu dapat diminimakan berbanding kaedah runding terus?

Yang pasti, kemungkinan berlaku penyelewengan yang besar adalah lebih mungkin berlaku dalam kaedah runding terus berbanding tender terbuka.

Kenapa benda mudah macam ini pun Tuan Ibrahim susah nak faham?

Selain itu, sejak bila Pas lebih gemar mempertahankan mudarat yang besar berbanding mudarat yang kecil? – ShahbudinHusin 16/03/2023.