Orang Melayu terutama kontraktor Bumiputera sewajarnya berasa
“dikhianati” susulan penyelewengan yang berlaku pada program Jana Wibawa.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu dalam satu
kenyataan berkata, inisiatif rangsangan ekonomi itu merupakan usaha baik
membantu kontraktor Bumiputera berdepan kesukaran ketika pandemik Covid-19 yang
banyak melumpuhkan syarikat tempatan.
Namun usaha baik itu tegasnya telah tercemar dan gagal mencapai
objektifnya susulan tindakan segelintir individu yang mengkhianati Bumiputera
demi kepentingan rakus diri.
"Sekali lagi di sebalik topeng ‘membantu Bumiputera’, tetapi
Bumiputera juga yang dikhianati oleh pimpinan sendiri.
"Sampai bila nama Bumiputera, Melayu dan Islam diperalatkan
untuk kepentingan individu atau kumpulan tertentu saja?
"Bangsa Melayu perlu sedar dan insaf daripada terus
diperalatkan dan ditipu pemimpin sendiri bertopengkan Melayu dan Islam di bawah
helah pembelaan bangsa dan agama," katanya dalam kenyataan.
Jana Wibawa, atau Program Penjanaan Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor
Bumiputera diperkenalkan pada November 2020 semasa pentadbiran PM Mahiaddin
Yassin.
Selain untuk meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam
industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, program itu bagi mempercepatkan
penyampaian projek kerajaan bagi membantu merangsang pemulihan ekonomi Malaysia
selepas Covid-19.
Walau bagaimanapun Presiden Bersatu, Mahiaddin dan bekas Ketua
Penerangan parti itu, Wan Saiful Wan Jan kemudian dihadap ke Mahkamah bagi
berdepan tuduhan rasuah dikaitkan dengan program itu.
Sementara itu Raja Kamarul yang juga seorang arkitek terkenal
negara berkata, sebagai arkitek yang pernah berurusan dengan kontraktor
Bumiputera, beliau tahu ramai yang menaruh harapan tinggi program Jana Wibawa
akan menjadi “penyelamat” mereka.
Sesetengah kontraktor Bumiputera yang bergelut dari segi kewangan
ketika pandemik, katanya terpaksa menjual perniagaan, barang kemas dan harta
keluarga untuk terus bertahan.