Lebih 200 guru tidak lapor diri, tolak penempatan ke Sarawak


Kementerian Pendidikan memaklumkan, guru kelahiran Sarawak diberikan keutamaan untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen.

Seramai 3,227 guru “one-off”, merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara “Contract of Services (CoS)” ditempatkan di Sarawak sehingga September tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Seramai 222 daripada 3,227 guru “one-off” yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 Sept tahun lepas, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan 3,227 guru “one-off” itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara “Contract of Services (CoS)” yang ditempatkan di Sarawak.

“Urusan pengambilan guru akan dilaksanakan berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran,” menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai bilangan guru pengambilan “one-off” dan CoS yang tidak melapor diri atau menolak tawaran ke Sarawak serta tindakan diambil KPM untuk mengisi kekosongan itu.

Menurut KPM guru kelahiran Sarawak diberikan keutamaan untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen.

Bagi pembangunan profesionalisme guru baharu, KPM telah melaksanakan Program Pembangunan Guru Baharu untuk membimbing dan membantu secara profesional dan berstruktur bagi membolehkan guru baharu mengadaptasi persekitaran, budaya dan komuniti sekolah.

“Guru baharu juga menerima bimbingan secara berterusan daripada guru mentor yang dilantik dalam meningkatkan kompetensi profesionalisme terutamanya kemahiran dan kepakaran bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran (PdP) dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” kata KPM.