IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyifatkan hasrat pihak tertentu menukar kerajaan yang ada tanpa melalui pilihan raya sebagai terdesak untuk kembali berkuasa.
Naib Pengerusinya, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan ekonomi ketika ini, tidak seharusnya mana-mana pemimpin politik merancang untuk menumbangkan kerajaan.
Jelas beliau, kestabilan politik amat penting dalam memulihkan ekonomi serta menarik pelabur asing datang ke Malaysia.
“Usaha pihak tertentu menumbangkan kerajaan yang ada ini hanya untuk kepentingan politik semata-mata dan bukan demi rakyat kerana mereka merasai nikmat ketika berkuasa dahulu.
“Tapi kita yakin kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini kekal utuh dan terus bekerja untuk negara tanpa menghiraukan tindak-tanduk pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Muhamad Arafat berkata, PKR Perak akan terus membantu Perdana Menteri memastikan hasrat memulihkan negara berjaya dilaksanakan tanpa gangguan.
Jelasnya Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta itu, tindakan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan pasti akan dihukum oleh rakyat yang tidak mahu kestabilan politik diganggu ketika usaha memulihkan ekonomi dilaksanakan.