Ruginya Amalan Kita Jika. .
1. Hasad dengki kepada orang.
2. Menghina orang.
3. Takabbur dengan orang.
4. Bergaduh dengan orang.
.
Antara penentu bagi amal kebaikan kita
diterima Allah bergantung kepada sebaik mana hubungan kita sesama manusia.
Akhlak dengan amalan, ibarat kuku dengan isi. Andai terkopek kuku di atas,
meranalah isinya di bawah. Andai buruknya akhlak, boleh jadi sia-sialah amalan
yang dilakukan.
Jadi ruginya amalan kita jika...
1. Hasad
Rasulullah mengingatkan, “Berwaspadalah kamu
tentang hasad! Sesungguhnya hasad memakan semua kebaikan, sebagaimana api
memakan kayu.” (Riwayat Abu Dawud)
Hasad ialah perasaan tidak selesa jika
melihat orang lain merasai sesuatu nikmat. Sebaliknya dia mengharapkan nikmat
itu lenyap daripada saudaranya. Alangkah ruginya, solat yang dilakukan
seharian, gugur begitu saja sebaik saja merasa iri hati melihat jiran
berperabot baharu!
2. Menghina orang.
Nabi mengingatkan, "Cukuplah seseorang
itu dikira melakukan kekejian dengan menghina saudara Muslimnya!” (Riwayat
Muslim)
Perbuatan lahir daripada sikap. Orang yang
menghina orang lain ialah orang yang ada sikap mudah memandang hina orang lain.
Awas. Bahaya sekali sikap memandang rendah orang lain!
.
Rasulullah mengingatkan hal ini dengan
mengisahkan, “Ada seorang lelaki berkata, ‘demi Allah, Allah tidak akan
mengampunkan si fulan!’ Dia memandang hina saudaranya memandangkan tabiat
saudaranya yang sering bermaksiat.
Lalu Allah berkata, “Siapakah yang berhak
menetapkan pada-Ku untuk tidak mengampunkan si fulan? Sesungguhnya Aku telah
ampunkan si fulan, dan Aku gugurkan segala amalanmu!” (Riwayat Muslim)
3. Takabbur
Daripada sikap mudah memandang hina orang
lain, terbentuklah satu lagi sikap keji iaitu takabbur. Takabbur ialah rasa
diri lebih baik, mulia daripada orang lain. Awas, cukuplah dengan sekelumit
takabbur di hati, tertutuplah pintu syurga untuk kita.
Rasulullah bersabda, "Tidak akan masuk
syurga, siapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah rasa takabbur!”
Seorang sahabat bertanya, "Bagaimana
dengan seseorang yang sukakan bajunya yang elok-elok, sandalnya yang
elok-elok..”
Rasulullah pun bersabda, “Sesungguhnya Allah
Maha Cantik, sukakan kecantikan. Takabbur itu, menyanggah kebenaran (kerana
ego) dan menghina orang lain!” (Riwayat Muslim)
4. Bergaduh dengan saudara Muslim
Rasulullah mengkhabarkan, “Dibukakan pintu
syurga setiap hari Isnin dan Khamis, lalu diampunkan semua manusia yang tidak
mensyirikkan Allah, kecuali orang yang saling bertelingkah. Maka, diseru,
‘Tangguhkan dua orang ini sehingga mereka berbaik. Tangguhkan dua orang ini
sehingga mereka berbaik.’” (Riwayat Muslim)
Marilah sama-sama kita menjaga hubungan baik
sesama kita. Mudah-mudahan diredai Allah, dan tidak rugi amalan kita.
Perkongsian fb Muhammad Luqman Makhtar