Presiden Pas, Hadi Awang adalah satu-satunya pemimpin blok pembangkang PN yang paling gemar dan sentiasa ghairah bercakap mengenai usaha menebuk atap bagi menumbangkan kerajaan.
Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin dan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin pun tidak sekerap dan seghairah beliau bercakap untuk menjatuhkan kerajaan.
Berbanding topik lain seperti ekonomi, pelaburan, pengangguran, pendidikan, malah berkenaan banjir yang sedang melanda beberapa negeri sekarang, Hadi Awang boleh dikata tidak bercakap langsung mengenainya.
Tetapi, bila bab menjatuhkan kerajaan dan menumbangkan Anwar Ibrahim, matanya sentiasa saja bersinar-sinar untuk bercerita.
Peliknya, ketika kempen pilihan raya diadakan sebelum ini, tidak pula beliau keluhatan ghairah berkempen ke seluruh negara untuk memenangkan PN dan mengelakkkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.
Keghairahan beliau hanya mula muncul setelah keputusan pilihan raya diumumkan dan diumumkan tiada parti yang cukup majoriti secara sendirian untuk menubuhkan kerajaan.
Ketika itu, dalam perjumpaan yang sepanjang masa berlangsung di kediaman Mahiaddin, kelibat beliau sentiasa saja ada kelihatan.
Kadang-kadang, awal pagi lagi beliau sudah sampai di rumah Pengerusi PN itu.
Kerajinannya itu hampir kalah jika dibandingkan dengan semangatnya untuk hadir ke Parlimen.
Kemudian setelah kerajaan perpaduan terbentuk, Anwar dinobat sebagai Perdana Menteri dan sehinggalah sekarang, pantang ada peluang, sasaran pengucapannya tidak lain ialah untuk menjatuhkan kerajaan dan menumbangkan Anwar.
Ishh…ishh…ishh….
Susulan kenyataannya sebelum ini bahawa Anwar akan tumbang tidak lama lagi dan kenyataan itu dipertikaikan banyak pihak kerana dianggap bertentangan dengan titah Yang Dipertuan Agong, Hadi tetap mempertahankan kenyataan tersebut.
Kata beliau, menjatuhkan kerajaan adalah perkara biasa dalam politik.
“Itu satu kenyataan daripada segi politik dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD (Akuan Bersumpah), penyokong kerajaan berpaling tadah, itu berlaku.
“Kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati bersama-sama komponen sendiri, ada berlaku.
“Sebab itu ia tidak mustahil akan berlaku,” tambahnya.
Kadang-kadang, terutama dengan adanya akta lompat parti di mana peralihan sokongan Ahli Parlimen secara individu tidak lagi terpakai, bahkan akuan bersumpah atau SD pun sudah tak laku, disusuli wujudnya perjanjian persefahaman melibat lima parti teras yang membentuk kerajaan perpaduan sekarang – PH, BN, GPS, GRS dan Warisan – geli hati pun ada dengan gelagat Hadi ini.
Hakikatnya, daripada segi logik akal adalah sukar untuk melihat Anwar dapat dijatuhkan, kecuali ada parti yang bertindak menarik sokongan.
Tak puas hati seorang dua tidak memberi kesan apa-apa.
Pilihan yang tinggal dan paling munasabah untuk menukar kerajaan hanyalah melalui PRU dan undi rakyat setiap lima tahun sekali.
Sebab itu, kalau kita perhatian, Mahiaddin selaku Pengerusi PN dan Hamzah selaku Ketua Pembangkang lebih menumpukan kepada isu-isu kepentingan rakyat atau menyerang Anwar sebagai Perdana Menteri berbanding bercakap mengenai tebuk atap dan menjatuhkan kerajaan di tengah jalan.
Kenapakah hanya Hadi seorang yang tidak henti bercakap tentang tebuk atap?
Apakah beliau tidak memahami realiti?
Atau Hadi sebenarnya ingin dirinya pula berbanding Mahiaddin atau Hamzah ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri?
Meskipun hak Hadi untuk terus bercakap mengenai tebuk atap atau menjatuhkan kerajaan, malah tidak pun menjadikan elaun Ahli Parlimennya dipotong, ingin dipesan adalah lebih baik agar beliau segera tampil secara membuktikan kata-katanya itu.
Lakukanlah seperti Anwar dulu yang berani mengadakan sidang media mengenai cukup sokongan telah diperolehinya untuk mengambil alih kerajaan.
Jangan asyik sembang kosong saja tapi tak juga berlaku apa-apa.
Mahu juga dilihat siapa yang sedia bersama dan ingin bergotong-royong dengan beliau untuk memanjat dan menanggalkan atap itu?
Buktikanlah segera, asyik-asyik cakap saja, takut nanti isteri dan anak-anaknya sendiri di rumah pun turut sama loya menyaksikan drama yang tiada “ending” ini. – ShahbudinHusin 07/03/2023.