KLANG: Selangor melakar sejarah selepas Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS) melantik seorang wanita sebagai nazir masjid di negeri ini,
hari ini.
Pelantikan Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur
Kuala Lumpur (IUKL), Prof Datuk Dr Noor Inayah Yaakub itu menjadikannya wanita
pertama di Selangor menjadi nazir bagi Masjid Ikram IUKL, Bangi.
Noor Inayah, 53, yang ditemui media berkata, beliau bersyukur
atas kurniaan watikah pelantikan yang disempurnakan Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah dan menyifatkan lantikan itu satu tanggungjawab besar.
"Alhamdulillah, saya menerima pelantikan ini dengan rasa
bersyukur kepada Allah SWT kerana saya difahamkan tahun ini hingga 2025, saya
satu-satunya nazir wanita yang dilantik di Selangor bagi sebuah masjid
institusi iaitu masjid di IUKL.
"Ia sekali gus mengangkat martabat wanita sebagai nazir dan
kita melihat pengurusan masjid itu tidak memberikan apa-apa sekatan sekiranya
wanita menjadi peneraju.
"Saya masih lagi belajar, melihat kepada terma lantikan di
bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan MAIS, saya antara ahli jawatan
kuasa Baitulmal Selangor sudah tentu akan terus mendapat bimbingan daripada
pihak berkuasa negeri dan jawatan kuasa masjid itu sendiri," katanya.
Terdahulu, beliau antara 900 nazir dan imam masjid di seluruh
Selangor yang hadir menerima kurniaan watikah pelantikan daripada Sultan
Sharafuddin di Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam
Masjid di Selangor sesi 2023 - 2025 di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Secara keseluruhannya, seramai 386 nazir dan 870 imam
membabitkan 435 masjid di seluruh Selangor yang dilantik MAIS bagi sesi 2023
hingga 2025.
Bagaimanapun pada majlis hari ini, hanya 900 nazir dan imam yang
hadir menerima watikah pelantikan berkenaan.
Mengulas jawatan nazir yang cukup sinonim dengan golongan lelaki
terutama membabitkan institusi agama yang kebanyakannya dipelopori mereka, Noor
Inayah berkata, mungkin pelantikan wanita sangat jarang berlaku, tetapi beliau
mendapat sokongan daripada rakan lain yang berpengalaman dalam bidang
berkenaan.
"Setakat ini, ia tidak mencabar kebolehan seorang wanita
sebagai nazir kerana ia lebih kepada pengurusan dan tadbir urus masjid
lebih-lebih lagi di institusi.
"Walaupun saya satu-satunya wanita dilantik sebagai nazir,
insya Allah dari sudut pengurusan masjid, tiada halangan dan masalah seorang
wanita menjadi nazir," katanya.
Katanya, selepas diberi amanah sebagai nazir masjid, beliau
berharap masyarakat setempat dapat dirapatkan dengan golongan intelek dan
mahasiswa dalam universiti, menjadi sebagai satu kariah.