Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad
Khamis 24 November 2022
Kenyataan
akhbar yang dikeluarkan oleh Istana Negara mengatakan bahawa Yang di-Pertuan
Agong (YDPA) telah membuat keputusan melantik DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana
Menteri (PM) ke-10. Baginda membuat keputusan itu setelah berbincang dengan
Raja-Raja Melayu “untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi
kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.”
“Hakikatnya,
rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada
kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk
merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.”
Tidak
pula disebut parti-parti yang bersetuju bergabung dengan PH dan berapa orangkah
ahli-ahli Dewan Rakyat (DR) yang menyokong DS Anwar.
Dengan pelantikan ini
tercapailah cita-cita DS Anwar setelah sekian lama menunggu. Apa yang akan
dilakunya selepas ini sama-samalah kita menunggu untuk melihatnya.
Yang
paling licik adalah DAP. Dengan menutup mulut dan tidak menampakkan muka mereka
sepanjang kempen PRU-15 dan rundingan bergabung selepas PRU-15, mereka tidak
membangkitkan kecurigaan orang Melayu terhadapnya seperti sebelumnya.
Sehinggakan,
semasa menunggu untuk mengambil ubat di Hospital Putrajaya tengah hari 24
November 2022, isteri saya terdengar seorang pesakit perempuan berkata, “Kali
ni DAP tak ada, cuma PKR. Cina tak ada pun, semua Melayu. PH la ni berlain
daripada PH dahulu. Dulu PH Mahathir. Ini PH Anwar. Kita sokong pun tak apa.”
Begitu berkesan sekali taktik mereka.
DS
Anwar dari awal lagi bersetuju untuk mengadakan kerajaan perpaduan. Alasan yang
digunanya ialah beliau tidak mahu derhaka kepada YDPA. Sebenarnya beliau tahu
itulah satu-satunya cara untuk beliau menjadi PM.
Mengikut
berita, semasa TS Muhyiddin menghadap YDPA, DS Anwar sedang menunggu di bilik
sebelah untuk menandatangani perjanjian yang telah disediakan oleh pihak Istana
Negara. Jika cerita itu benar, soalnya adakah terdapat satu komplot antara
beliau dengan pegawai-pegawai Istana Negara seperti yang dikatakan pernah
berlaku dahulu?
TS
Muhyiddin telah menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan cara penentuan
bilangan penyokong yang diperolehi olehya dan DS Anwar. Mengikutnya, pada 22
November 2022 lagi beliau telah menghantar sebanyak 115 SD menyokongnya, yang
termasuk 10 dari BN. Pada 23 November 2022, semasa beliau menghadap YDPA
apabila beliau memberitahu YDPA beliau mempunyai 115 penyokong, YDPA terkejut
dan berkata baginda tidak tahu. Adakah pegawai-pegawai istana yang bertanggungjawab
tidak memberitahu baginda?
Pada
22 November 2022 petang, tempoh menyampaikan SD telah dipanjangkan. Dalam masa
dua hari berikutnya DT BN dan MKT UMNO sibuk bermesyuarat. Berulang kali
keputusannya dilaporkan bahawa BN berkecuali.
Kemudian
keluar pula cerita DS Dr. Wee Ka Siong, Presiden MCA melenting kerana DS Zahid
dalam suratnya kepada YDPA telah menyatakan 30 ahli DR BN menyokong DS Anwar
sebagai PM padahal mesyuarat DT BN memutuskan mereka berkecuali. Beliau begitu
marah terhadap DS Zahid hingga mahukan undi tidak percaya sebagai Pengerusi DT
BN dibuat terhadap DS Zahid. Ada pihak yang membuat laporan Polis menuduh DS
Zahid menipu YDPA.
Malam
23 November 2022, keluar pula berita bahawa semua sepuluh orang ahli DR UMNO
yang menandatangani SD menyokong TS Muhyiddin itu menandatangani SD menarik
balik sokongan mereka itu.
Saya
menyangkakan bahawa pendirian 30 ahli-ahli DR BN itu adalah berkecuali sehingga
terbaca NST online jam 9.15 malam 24 November 2022 yang mengatakan antara penyokong
DS Anwar adalah 28 ahli DR BN. Beberapa minit kemudian, keluar pula berita
bahawa PH, BN dan GPS akan menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan Isnin
diisytiharkan cuti umum. Jadi, jelaslah sekarang bahawa BN menyokong DS Anwar,
bukan berkecuali.
Bagi
saya, bahawa UMNO/BN berkecuali pun saya kecewa kerana ia sepatutnya bergabung
dengan PN untuk menghalang PH berkuasa. Bergabung dengan PH tidak boleh
diterima langsung. Ia adalah satu penipuan kepada pengundi-pengundi Melayu.
Turut
mendukacitakan ialah peranan yang dimainkan oleh Istana Negara yang seolah-olah
membantu DS Anwar menjadi Perdana Menteri dan PH berkuasa. Bahawa YDPA menitah
kepada ketua-ketua parti supaya menimbang cadangan mengadakan kerajaan
perpaduan itu tidak boleh dinafikan. Ini disahkan oleh ketua-ketua parti itu
sendiri.
Ini
adalah ulangan apa yang berlaku dua tahun dahulu. Ia tidak sepatutnya berlaku.
YDPA tidak sepatutnya terlibat dalam politik. Ini bukan soal ikut Westminster
atau tidak. Ini soal campur tangan dalam dasar parti dan tujuan pengundi. Dalam
PRU ini, misalnya PN telah mengeluarkan manifesto dan berkempen bahawa mereka
menentang dasar-dasar PH dan pengundi-pengundi mengundi PN atas alasan itu.
Setelah selesai pilihan raya dan calon-calon yang mereka undi menang, partinya
dititahkan bergabung dengan PH. Nasiblah PN bertegas tidak mahu bergabung
dengan PH untuk menubuh kerajaan. Bagaimana dengan BN dan GPS?
Saya
tidak faham bagaimana sepuluh orang ahli-ahli DR UMNO yang pada mulanya membuat
SD menyokong TS Muhyiddin itu boleh menarik balik SD mereka. Takut sangatkah
kepada DS Zahid dan dipecat? Saya juga tidak faham bagaimana ahli-ahli MKT yang
berkali-kali mengundi untuk berkecuali, boleh menerima keputuan (siapa?) bahawa
BN/UMNO bersetuju menyokong DS Anwar Ibram sebagai PM dan bergabung menubuh
kerajaan dengan PH. Takut sangatkah mereka kepada DS Zahid? Adakah mereka juga
bersekongkol untuk berbohong?
Jam
6.00 petang 24 November 2022, keluar berita wakil 130 Bahagian UMNO telah
sampai ke WTC untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden
dan pemimpin-pemimpin mereka. Jika semua Bahagian UMNO menyokong Presiden dan
pemimpin-pemimpin mereka pun, kita belum tahu bagaimana perasaan
pengundi-pengundi Melayu yang mengundi UMNO/BN dalam PRU15. PRK dan PRN akan
diadakan tidak lama lagi. Saya ingin lihat prestasi UMNO/BN.
Biar
apa pun, saya merasa tertipu. Saya sudah tidak percaya kepada pemimpin-pemimpin
UMNO lagi. Selamat tinggal UMNO.
Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas
Ketua Hakim Negara