Oleh: Chegu Syed
ULASAN: Prestasi Pakatan Harapan (PH) Terengganu jelas
menunjukkan penurunan dari segi pencapaian kemenangan kerusi, bilangan undi
yang diperolehi dan peratus undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke (PRU) 15 PH Terenggganu mengulangi
kegagalan dengan memperolehi 0 “kosong” kerusi bagi 8 kerusi parlimen yang
dipertandingkan, sama seperti yang terjadi pada PRU14 tahun 2018. Keadaan ini
disebabkan oleh kegagalan PH Terengganu untuk menggunakan ruang dan peluang
dalam tempoh 2018 sehingga Mac 2020 semasa menjadi Kerajaan Persekutuan dengan
sebaik mungkin untuk memperkukuh dan memantapkan gerak kerja bagi persediaan
pilihan raya. Moral, sumber dana dan kesungguhan jentera PH Terengganu menjadi
lebih buruk dan lesu selepas kerajaan PH tumbang akibat pengkianatan.
Bilangan undi yang diperolehi oleh PH Terengganu dalam PRU15
merosot sehingga 40,645 undi berbanding 59,834 undi pada PRU14 (2018). Dengan
peningkatan jumlah kumpulan pengundi muda yang berumur 18-39 tahun, antara yang
teramai di Malaysia iaitu 56.8% dari jumlah keseluruhan pengundi Terenggganu
dalam PRU15, PH Terenggganu seakan-akan hilang strategi dan pendekatan untuk
memenangi hati golongan ini. Ia sekaligus jelas mempamerkan ketidaksediaan PH
Terengganu dalam merancang dan melaksanakan apa jua program yang bersesuaian
untuk kumpulan ini.
Peratus perolehan undi merosot
Peratus undi yang diperolehi oleh PH Terengganu merosot ketara
pada PRU15 iaitu sekadar memperolehi 5.49% berbanding 9.64% dalam PRU14 (2018).
Kemerosotan ini tentu sahaja disumbangkan oleh banyak faktor tetapi yang paling
signifikan ialah apabila tiada command centre yang jelas diperingkat PH negeri
yang diterajui oleh Datuk Raja Kamarul Bahrin.
Dalam PRU15, PH Terenggganu seolah-olah tiada pengarah pilihan
raya negeri yang bertanggungjawab menyusun dan mengatur strategi dan gerak
kerja secara kolektif untuk PH Terenggganu. Setiap unit parlimen kelihatan
bergerak dengan kekuatan masing-masing yang terhad dan sangat bergantung kepada
masing-masing pasukan kempen calon-calon yang bertanding.
Sehubungan itu, sudah tiba masanya PH Terenggganu muhasabah diri
dan membuat pertukaran teraju kepimpinan. Datuk Raja Kamarul Bahrin dari Amanah
seharusnya digantikan menjelang pilihan raya negeri (PRN) beberapa bulan dari
sekarang. PH Terenggganu tidak ketandusan pemimpin yang berpegalaman dan
berbakat.
Rombak pimpinan PH Terengganu
Dua tokoh dari Parti Keadilan Rakyat Terenggganu iaitu YB Nik
Nazmi Nik Ahmad selaku pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Terengganu dan Azan
Ismail selaku mantan pengerusi MPN Terengganu adalah calon-calon yang
berpotensi memimpin PH negeri. Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman sebagai
ahli parlimen dan ADUN serta pengalaman luas dalam pilihan raya.
Sebagai pemimpin PH Terenggganu yang berjiwa besar dan
mementingkan kejayaan PH Terenggganu melebihi dari kenikmatan menyandang kerusi
“Pengerusi PH Terenggganu, saya fikir Datuk Raja Kamarul Bahrin tentulah
berjiwa besar untuk memastikan pisang tidak berbuah tiga kali pada PRN tahun
hadapan.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan mantan ahli
Majlis Pimpinan PH Terenggganu dan Ketua Penerangan Negeri KEADILAN Terenggganu
sesi 2018 - 2022.