Malaysia bangkit semula dipimpin secara dinamik
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia ke 10 dan merafak sembah di atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melantik Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri.
Presiden ABIM Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz, dalam kenyataannya memuji kematangan rakan rakan kerajaan perpaduan yang menyedari keperluan berkerjasama sebagai keutamaan demi menyelamatkan rakyat pada ketika ekonomi dan sosial sedang genting.
“ABIM memuji kematangan rakan gabungan politik yang berlapang dada untuk mendukung pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan isu asasi rakyat dapat diselesaikan dengan segera.
“Sesungguhnya kematangan yang ditonjolkan ini harus disambut oleh segenap lapisan rakyat sebagai timbal balik dengan memberi dukungan penuh kepada Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar
“Semoga kerajaan yang dibentuk ini dapat sama-sama meraikan peran serta pemegang taruh utama masyarakat untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai setiap kelompok serta segenap lapisan warga Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau juga mendoakan agar kerajaan perpaduan Pakatan Harapan dan sekutunya ini akan bertahan lama sehingga ke penghujung penggal.
“ABIM mendoakan semoga pelantikan ini akan merintis keharmonian politik berasaskan kepada semangat perpaduan yang dilandaskan pada peribahasa “Biduk lalu kiambang bertaut”.
“Rakyat dan negara memerlukan kepimpinan yang dinamik dan inklusif untuk bangkit semula mengatasi pelbagai cabaran yang berlaku sepanjang beberapa tahun yang lalu,” katanya lagi.