ANWAR DAN ANAK SEMUA BANGSA

 

Oleh: Rosli Khan

‘Politik itu juga sastera. Dengan tidak menyintai sastera, anda cuma hidup sebagai haiwan yang sedikit cerdik.’ Pramoedya Ananta Toer (1925-2006).

Buku kedua dari novel tetralogi penulis terkenal Indonesia 🇮🇩 Pramodya Ananta Toer, atau bisa dipanggil Pak Pram, bertajuk ‘Anak Semua Bangsa’.

Beliau adalah seorang sasterawan yang prolifik, pemikir bangsa dan penulis revolusioner yang tajam dan ditakuti dizamannya dahulu.

Walaupun dipenjara tanpa sebarang pembicaraan oleh Suharto dari tahun 1965, Pak Pram, yang disalahkan kerana beliau begitu kritis, menjadi banduan solitari yang terpanjang di pulau Buru, Indonesia.

Corak sastera politiknya yang berkesan, banyak berkisar tentang pengalaman beliau ditengah masyarakat bawahan yang ditindas.

Beliau bermula dalam penjajahan Belanda keatas Indonesia, diikuti zaman penaklukan Indonesia ditangan Jepun sepanjang perang dunia kedua, dan pemerintahan kukubesi Suharto dari tahun 1965.

Ketidaksamaan dalam kutipan cukai pertanian, polarisasi kaum, penindasan dan diskriminasi, menjadi tema utama dalam karya-karya Pak Pram.

Sastera Politik

Perjuangan politik Anwar Ibrahim juga hampir sama. Dia berjuang untuk kaum yang ditindas, bergerak untuk membasmi kemiskinan dan menolak kronisme yang berlarutan ditahun-tahun 1990an.

Dia mahukan politik keterbukaan dan bertanggungjawab (transparency dan accountability).

Anwar menyelit sastera politik dengan laungan transformasi untuk rakyat, terhadap pembubalan banyak legislasi kuno, seperti ISA, OSA, ASA dan berbagai lagi.

Legislasi-legislasi inilah yang digunapakai oleh pemerintahan kukubesi Mahathir dan kemudiannya, Najib, demi mengekang pembaharuan dan pengembangan minda rakyat.

Mereka berdua bukan saja memenjarakan Anwar tetapi juga menyekat segala pemikiran sastera politik yang akan memerdekakan minda rakyat dan negara, dalam erti kata yang sebenarnya.

Cengkaman inilah yang mahu dibebaskan Anwar.

Mungkin secara kebetulan atau secara disedari, konsep ‘Anak Semua Bangsa’ ini, juga menjadi piagam parti yang Anwar tubuhkan pada tahun 1998, selepas beliau disingkir dari Umno dan terpenjara.

Anak Semua Bangsa

Partinya, PKR, berbilang kaum, dan mencuba untuk memberi kesamaan dan nafas baru kepada semua kaum di Malaysia.

Wawasan Anwar ialah untuk melihat anak-anak dari berbagai kaum, keturunan, latar belakang dan sudut negara diberi peluang yang sama dalam segala sektor seperti pelajaran, bantuan kewangan dan kesihatan.  

Tema ‘Anak Semua Bangsa’ ini menjadi konsep utama dalam kempen Anwar pada PRU15 yang baru berlalu.

Menurut Anwar, disitulah terletaknya titik permulaan kepimpinan kepada sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Sememangnya keadaan di negara kita, agak terpisah dalam kesatuan. Ramai yang berpuak dan kurang memahami antara satu sama lain.

Dari awal persekolahan mereka dipisahkan mengikut kaum. Perasaan tertindas dan ditindas dirasai dan ditanami dalam perkauman.

Kaum minoriti berpendapat, kita sebenarnya tidak ada kesamaan.

Tidak hairanlah, politik tanpa sastera ini bergerak dan menuju kearah mono-rasial, mono-lingual dan mono-kultur yang amat membimbangkan.

Hal ini dimainkan pula oleh segolongan ahli politik yang kering dalam pemikiran, seperti Hadi dan Muhyudin, semata-mata untuk memancing undi.

Kesamaan dan Perlawanan

Seperti Pak Pram yang terpenjara selama lebih tiga dekad lamanya, Anwar berjuang diatas dasar kesamaan selama hampir 25 tahun, demi menegakkan idealismanya dan reformasi yang semakin pudar.  

Adalah amat sukar apabila politik lawan berkisar disekitar kapitalisma yang memanjang, kumpulan elit yang berpengaruh serta budaya dan sastera negara yang kian terpinggir.

Suatu masa lalu, Anwar dianggap seperti cuba untuk menghidupkan kembali unggun api yang telah hampir mati.

Dari sudut perlawanan, Hadi dari Pas berkempen diatas konsep rakan parti Anwar, DAP, sebagai parti komunis.

Ada persamaan sewaktu Suharto menuding jari kepada Pak Pram dipermulaan konsep ‘Order Baru’ di Indonesia dahulu.

Isu komunis inilah senjata yang memusnahkan pemerintahan zaman Sukarno dan melonjak naikkan Suharto.

Hampir keseluruhan pengikut berhaluan kiri disingkir dan juga dihapuskan oleh Suharto.

Rakan Hadi, Muhyudin pula menggunakan  konsep yang hampir sama, iaitu kad agama yang tidak keruan.

Agen yahudi kononnya akan menkristiankan penduduk Malaysia dengan maksud menjadikan ancaman kepada kepercayaan yang sedia ada. Satu dongeng yang tiada asas.

Inilah antara perbezaan besar dalam pemikiran Anwar, Hadi dan Muhyudin. Anda tentunya dapat bezakan antara ideologi dan polemik.

Mujurlah kita masih mempunyai media yang bebas. Pemikiran sebegini diberi ruang dan pilihan kepada rakyat.

Ia memisahkan para pemikir dari pengelamun. Yang serius dari yang badut. Yang memimpin dari pemimpin.

Agak malang bagi Hadi dan Muhyudin, konsep ‘Anak Semua Bangsa’ ini kembali hidup dan dipercayai ramai.

Konsep ini mulai mendapat tempat dihati kalangan ramai pengundi dan mesti dilebarkan kepada semua kaum.

Memerdekakan minda masyarakat mesti diteruskan.

Di sinilah bermulanya titik kepimpinan Anwar yang tergelincir dan disita hampir 25 tahun itu. – Rosli Khan – 25 Nov 2022