Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2023 dengan
fokus menangkis kelembapan ekonomi yang dijangka akan berlaku pada tahun
hadapan.
Menteri Besar Datuk Seri Amiridin Shari yang membentangkan
belanjawan itu berkata jumlah peruntukan kali ini lebih besar berbanding
Belanjawan 2022 yang berjumlah RM2.34 bilion.
"Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang
boleh dikutip berjumlah RM2 bilion.
"Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2023
adalah premium tanah sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada
anggaran hasil keseluruhan," katanya.
"Belanjawan yang dibentangkan di Dewan Negeri itu
memperuntukkan RM1.25 bilion atau 51 peratus diperuntuk bagi perbelanjaan
mengurus dan 1.2 bilion lagi untuk pembangunan," katanya.
Belanjawan kali ini mengalami defisit RM450 juta.
Kata MB defisit itu lebih tinggi berbanding tahun lalu bagi
persediaan pengurusan bencana akibat perubahan iklim dan peruntukan pembangunan
substantif untuk pembangunan negeri.
"Walaupun melaksana belanjawan defisit sejak lima belanjawan
lalu, Kerajaan Negeri sentiasa berjaya mengurangkan jumlah defisit kepada satu
jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan
prinsip tadbir urus kewangan yang baik," katanya.
Perkara utama yang difokuskan dalam belanjawan kali ini bertema #KitaSelangor:
Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan adalah:
- Mengukuhkan pertumbuhan
ekonomi
- Membudaya perpaduan dan
masyarakat penyayang
- Pendidikan dan pembangunan
generasi masa depan
- Kehidupan lestari dan
sejahtera
- Tadbir urus cekap dan
bertanggungjawab