Harga minyak masak masih tinggi biarpun telah diturunkan
Kekurangan minyak masak bersubsidi RM2.50 sepeket di pasaran memerlukan kerajaan merobah polisi untuk merendahkan lagi harga siling minyak botol.
Menurut Ketua Biro Komunikasi Wanita KEADILAN, Nurhidayah Che Rose, biar pun kerajaan telah mengurangkan harga kepada RM39 bagi botol 5 kg namun harga itu masih tinggi bagi golongan B40.
“Minyak masak botol 5 kilogram mula dijual di peringkat peruncit pada harga RM39 berbanding RM45 pada bulan Jun dengan pengurangan sebanyak 13%.
“Saya meminta harga siling ini dapat dikurangkan lagi bagi meringankan beban pembeli terutamanya isi rumah B40. Saya juga berharap agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHNEP) lebih peka memantau harga yang dijual di pasaran,” katanya.
Selain itu, beliau juga meminta kerajaan memberi pencerahan mengenai pengumuman minyak botol 5 kilogram akan dijual pada harga di bawah RM35.
Hal itu, kerana pihak KPDHNHEP tidak pernah mengumumkan harga berkenaan.
“Menurut Annuar Musa (Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi), harga siling jualan minyak masak botol 5kg bulan ini akan ditetapkan RM 34.70 dan akan dikuatkuasakan bermula 8 Ogos.
“Namun pengumuman ini mengelirukan rakyat atau pembeli kerana pengumuman tidak sama sekali diumumkan oleh KPDNHEP.
“Dengan ini, saya memohon agar KPDHNHEP mengeluarkan atau mengumumkan harga siling minyak terkini dari pihak mereka sendiri,” katanya lagi.