PENGANALISIS ATAU PEMBAWA KRISIS...TAK ADA PUN DALAM PKR SEBAB YANG LAMA DAH LAMA BERKHIDMAT DAN DIGANTIKAN DENGAN TENAGA MUDA...LAMA JADI PENASIHAT

 

Gugur penyandang, PKR mungkin berdepan satu lagi krisis, kata penganalisis.





Mengetepikan penyandang seperti Maria Chin Abdullah dan R Sivarasa mungkin memberi kesan negatif kepada PKR menjelang pilihan raya umum, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Keputusan kontroversi PKR mengetepikan beberapa bekas Ahli Parlimen tersohor dalam senarai calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mungkin menjerumuskan parti itu dalam krisis lain.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir, berkata pengguguran bekas Ahli Parlimen seperti Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan R Sivarasa (Sungai Buloh) akan menyebabkan penyokong mereka “kecewa”, terutamanya kerana mereka “berwibawa dan sangat berkesan” .

“Kita telah melihat selama ini bagaimana PKR telah terlibat dalam banyak krisis dan perebutan kuasa. Ini mungkin akan membawa kepada krisis lain jika tidak ditangani dengan betul.

“Adakah anda fikir penyokong mereka akan berdiam diri? Mereka akan bertindak balas, malah mereka mungkin mensabotaj parti dengan tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15,” katanya kepada FMT.

Krisis terbesar yang melanda PKR berlaku pada Februari 2020 apabila bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, berpaling tadah daripada parti itu bersama 10 ahli parlimen PKR yang lain – mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH dalam insiden yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Jeniri juga meragui rasional Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung Maria, Sivarasa, dan ahli parlimen lain digugurkan untuk membolehkan generasi muda diketengahkan.

Anwar dilaporkan berkata, melepaskan orang lama untuk muka baharu adalah satu keputusan yang sukar, tetapi ia tidak dapat dielakkan kerana sebahagian daripada “lumrah alam” bagi merangsang proses penjanaan semula parti.

“Saya tidak percaya. Saya skeptikal dengan alasan Anwar dan saya rasa ada agenda lain di sebalik ini,” kata Jeniri.

“Mungkin mereka (bekas Ahli Parlimen) dilihat sebagai penyokong Azmin dan parti cuba membunuh mereka ini.

“Tetapi PKR mesti sedar bahawa adalah sangat penting untuk mengekalkan muka sedia ada pada masa ini – bukan menjatuhkan mereka. Mereka adalah pembawa bendera PKR dan mereka bangkit (apabila diperlukan).”

Selain Maria dan Sivarasa, Johari Abdul (Sungai Petani), Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), dan Chan Ming Kai (Alor Setar) juga tidak akan mempertahankan kerusi mereka untuk PKR. Difahamkan Lee dan Tan sebelum ini telah memaklumkan kepada parti yang mereka merancang untuk bersara selepas penggal mereka sekarang.

Antara yang melahirkan rasa kecewa dengan keputusan tidak memasukkan bekas ahli parlimen dalam PRU15 ialah bekas naib presiden PKR Tian Chua. Beliau memberi amaran bahawa tindakan itu akan menjejaskan akar umbi parti dan mengecewakan pengundi yang menyokong PKR dan wakil rakyat mereka.

Menyedari “bantahan” yang bakal menyusul ekoran tindakan PKR mengenepikan pemimpin akar umbi berpengaruh, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, beliau pasti ia akan mewujudkan “persepsi negatif” terhadap PKR dan PH.

“Anwar sepatutnya belajar daripada pilihan raya Melaka, di mana calon termuda mereka di sana kalah teruk kerana dia tidak dikenali di lapangan,” katanya.

“Tetapi kita melihat perkara itu berlaku lagi. Jadi, apabila mereka (Anwar dan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli) berkata mereka mahu muka baharu, saya rasa mereka mahu seseorang yang mereka boleh kawal.

“Sesetengah muka baharu bukan sahaja baharu dalam PKR, malah mereka juga tidak dikenali di peringkat nasional. Amat ganjil bahawa muka baharu telah dipilih dengan cara ini, dan saya pasti akan ada kritikan terhadap tindakan tersebut.”

Azmi juga menyatakan Anwar akan menghadapi beberapa kritikan kerana mempromosi orang muda tetapi kemudian mencalonkan isterinya berusia 69 tahun, Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk kerusi Bandar Tun Razak.

“Saya tidak pasti sama ada dia patut dicalonkan kerana ini akan menimbulkan persepsi buruk di kalangan ahli PKR,” katanya.

No comments: